
KUALA LUMPUR, 22 September – Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) menawarkan imbuhan tambahan sebanyak RM20,000 kepada pasukan negara bagi acara itu yang berjaya meraih pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.
- MESF menganggap insentif sebagai penghargaan dan suntikan semangat kepada atlet e-sukan yang membawa cabaran negara.
- Insentif diberikan kepada pasukan bukan individu; contohnya skuad MLBB atau Honor of Kings menerima ganjaran jika memenangi emas.
- Malaysia sertai sembilan daripada 11 acara e-sukan; MESF mensasarkan sekurang-kurangnya lima pingat.
Presiden MESF Muhammad Naim Al Amin Saharudin dalam kenyataan memaklumkan, insentif berkenaan adalah inisiatif badan induk itu sebagai penghargaan dan suntikan semangat kepada atlet e-sukan yang membawa cabaran Malaysia pada temasya berkenaan.
“Imbuhan itu akan diberikan kepada pasukan yang memenangi pingat emas dan bukannya pemain secara individu. Sebagai contoh, sekiranya skuad Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) atau Honor of Kings (HOK) berjaya menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen negara, pasukan berkenaan akan menerima imbuhan tambahan RM20,000 daripada MESF.
“Insentif berkenaan turut menjadi pembakar semangat buat atlet e-sukan negara yang masih memburu pingat emas pertama Malaysia dalam sejarah penyertaan sukan itu di pentas Sukan Asia,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Untuk rekod, Malaysia menyertai sembilan daripada 11 acara e-sukan yang dipertandingkan pada temasya kali ini dengan MESF meletakkan sasaran sekurang-kurangnya lima pingat.
Pada edisi Hangzhou 2022, negara merekodkan pencapaian terbaik apabila menggondol pingat perak menerusi skuad Arena of Valor (AOV) dan gangsa menerusi Dota 2.