PM ucap tahniah kepada Adeola hadiahkan emas sulung negara

Atlet karate wanita negara Adeola Fay Robert menghadiahkan emas pertama buat negara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026/ Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 22 September – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada atlet karate wanita negara Adeola Fay Robert yang menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya menerusi acara karate.

RINGKASAN BERITA AI
  • Adeola, 20, menewaskan wakil Iran Fatemehzahra Saeidabadi 6-4 dalam final kumite bawah 55 kg dengan aksi tenang dan bertenaga.
  • Beliau mara ke final selepas kemenangan sempit 5-4 ke atas Bella Samasheva dan rekod sebelumnya 9-1 serta 8-7.
  • Kejayaan meneruskan momentum positif selepas pingat gangsa Sukan SEA 2025 dan menamatkan penantian emas karate wanita Sukan Asia sejak 2014.

Ucapan itu dibuat menerusi hantaran Facebok beliau kira-kira 8.16 malam tadi.

“Alhamdulillah, tahniah buat Adeola Fay Robert yang menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya menerusi acara karate.

“Semoga kejayaan ini membakar semangat seluruh kontinjen negara yang sedang menggalas cabaran di bumi Jepun. Teruskan berjuang dan harumkan nama Malaysia!,” menurut hantaran itu.

Penampilan sulung atlet berusia 20 tahun dari Sabah itu membuahkan hasil apabila menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya tersebut di Gimnasium Toyohashi, hari ini.

Adeola menampilkan aksi tenang dan bertenaga untuk menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi 6-4 pada final acara kumite bawah 55 kilogram (kg), sekali gus melakar kejayaan bermakna dalam penampilan sulungnya di pentas Sukan Asia.

Adeola terlebih dahulu menempah tiket ke final selepas menewaskan Bella Samasheva dari Kazakhstan 5-4 pada aksi separuh akhir.

Sebelum itu, beliau mencatat kemenangan 9-1 ke atas Asrar Jasem dari Kuwait dan 8-7 terhadap Sevinch Rakhimova dari Uzbekistan pada pusingan terdahulu.

Kejayaan itu meneruskan momentum positif atlet berkenaan selepas meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025.

Pingat emas berkenaan turut menamatkan penantian karate wanita Malaysia untuk meraih emas Sukan Asia sejak Syakilla Salni melakukannya pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.