Tunku Zain Al-’Abidin terajui SRAM

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz secara rasminya dipilih sebagai presiden baharu Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) selepas menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-54 persatuan itu, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus utama: program 'Road to Olympics' susulan penyenaraian pertama skuasy sebagai sukan Olimpik, dengan sasaran pingat emas.
  • Janji mengekalkan momentum kejayaan jawatankuasa terdahulu tanpa melakukan perubahan drastik.
  • Komited memperkasakan pembangunan bakat akar umbi melalui kerjasama erat dengan persatuan negeri untuk memastikan kesinambungan pelapis.
  • Barisan kepimpinan dipilih tanpa pertandingan: Mohammad Azlan Iskandar Timbalan, Sharon Wee Naib Presiden, Ramlee Bendahari, Nik Razeen Setiausaha.

Pemilihan putera kedua Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tersebut bagi menerajui badan induk sukan skuasy negara itu disahkan dalam mesyuarat yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, sekali gus mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Gerard Monteiro.

Mengulas mengenai hala tuju kepimpinannya, Tunku Zain Al-‘Abidin menegaskan fokus utama SRAM kini terarah kepada persiapan rapi menjelang temasya Sukan Olimpik susulan penyenaraian julung kali sukan skuasy di pentas temasya terbesar dunia itu.

“Langkah paling penting sekarang ialah program ‘Road to Olympics’ kerana skuasy buat pertama kalinya menjadi sukan Olimpik.

“Kita mempunyai peluang cerah untuk meraih pingat, justeru saya akan menyatukan seluruh gerakan dan usaha untuk benar-benar fokus ke arah sasaran pingat emas,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat tersebut di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan untuk mengekalkan momentum kejayaan yang telah dibina oleh jawatankuasa terdahulu tanpa melakukan perubahan drastik, memandangkan skuasy merupakan antara sukan paling konsisten menyumbang kejayaan kepada negara.

Selain fokus di peringkat elit, bekas Presiden Persatuan Skuasy Negeri Sembilan itu komited untuk memperkasakan pembangunan bakat di peringkat akar umbi melalui kerjasama erat dengan persatuan-persatuan negeri.

“Kita perlu membina pangkalan yang kukuh supaya lebih ramai kanak-kanak menceburi sukan skuasy. Ini penting bagi memastikan program pengesanan bakat berjalan secara berterusan.

“Sesetengah sukan lain mungkin pernah berada di tahap elit, namun hilang kesinambungan akibat kekurangan pelapis. Insya-Allah, tumpuan saya adalah memperkukuh kerjasama di peringkat negeri demi memelihara legasi bakat skuasy negara,” tambahnya lagi.

Mesyuarat itu turut menyaksikan barisan kepimpinan tertinggi persatuan dipilih tanpa sebarang pertandingan.

Legenda skuasy negara, Mohammad Azlan Iskandar disahkan memegang jawatan timbalan presiden, manakala bekas pemain kebangsaan, Sharon Wee Ee Lin mengisi kerusi naib presiden.

Bagi jawatan bendahari kehormat pula disandang oleh Ramlee Abdullah yang turut menang tanpa bertanding, manakala Nik Razeen Adam Daud dinamakan sebagai setiausaha kehormat menerusi lantikan presiden.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.