
KUALA LUMPUR, 22 September – Selepas sekian lama menyepi daripada arena muzik, Emma Suhaimi kembali mencuri perhatian menerusi single terbaharunya, ‘Tersakiti’, yang kini merekodkan lebih 200,000 tontonan di YouTube dalam tempoh sebulan.
- Lagu 'Tersakiti' mengangkat kisah luka, kekecewaan dan keberanian melepaskan hubungan yang tidak mendatangkan kebahagiaan.
- Emma menekankan pentingnya mencintai diri sendiri serta berani tinggalkan hubungan toksik sebelum menjadi lebih tersakiti.
- Kerjasama dengan komposer Ilham Baso memberi ruang idea, membolehkan rakaman vokal lebih jujur dan dekat dengan pendengar.
- Emma kongsikan pengalaman hampir 16 tahun kecewa; kesedihan boleh disampaikan melalui ketenangan, bukan semata-mata tangisan.
Lagu yang dilancarkan pada 14 Ogos lalu itu menerima sambutan positif peminat, sekali gus membuka lembaran baharu buat Emma meneruskan kembali perjalanan seninya.
‘Tersakiti’ merupakan karya komposer Indonesia, Ilham Baso, yang mengangkat kisah luka, kekecewaan dan keberanian melepaskan hubungan yang tidak lagi membawa kebahagiaan.
Menurut Emma, lagu berkenaan bukan sekadar berkisar mengenai perpisahan, sebaliknya membawa mesej mengenai kepentingan mencintai diri sendiri serta keberanian meninggalkan hubungan toksik.
“Kalau kita sudah tahu berada dalam hubungan yang toksik, segeralah tinggalkan hubungan itu sebelum kita menjadi lebih ‘Tersakiti’.
“Kadang-kadang kita terlalu lama bertahan kerana berharap keadaan akan berubah, sedangkan akhirnya hanya diri sendiri yang semakin terluka,” katanya.
Emma berkata, tema lagu itu dekat dengan realiti kehidupan masyarakat yang memilih untuk memendam perasaan dan terus bertahan dalam hubungan meskipun menyedari ia tidak lagi membawa kebahagiaan.
Mengulas kerjasama dengan Ilham Baso, Emma menyifatkan komposer berkenaan sebagai individu yang fleksibel dan memberi ruang kepadanya untuk menyumbang idea sepanjang proses rakaman.
Katanya, kebebasan menyampaikan emosi mengikut karakter vokalnya membantu menghasilkan rakaman yang lebih jujur dan dekat dengan pendengar.
Dalam pada itu, Emma mengakui cabaran utama ketika merakamkan ‘Tersakiti’ adalah memastikan emosi lagu benar-benar dapat dirasai pendengar.
Menurutnya, pengalaman peribadi melalui episod kekecewaan selama hampir 16 tahun turut membantu dirinya menghayati setiap bait lirik.
“Saya sendiri pernah melalui pengalaman yang menyakitkan dan mungkin itu juga antara sebab saya memilih lagu ini.
“Namun, saya percaya kesedihan tidak semestinya diterjemahkan dengan tangisan. Kadang-kadang ketenangan juga mampu menyampaikan rasa yang jauh lebih mendalam,” katanya.
Antara bait lirik yang paling dekat dengan dirinya ialah ‘Kamu buat aku nyaman tapi tak bisa aku genggam’, yang disifatkan Emma sebagai gambaran bahawa tidak semua perkara yang membahagiakan akan menjadi milik seseorang.
Emma berharap ‘Tersakiti’ dapat menjadi teman kepada pendengar yang sedang melalui fasa sukar, khususnya mereka yang memilih untuk memendam luka sendirian.
Single terbitan Nova Music Malaysia itu kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik utama, manakala muzik video rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos.