
ANGKASAPURI, 22 September – Telefilem khas terbitan Unit Drama TV Radio Televisyen Malaysia (UDTV RTM), Miselia, mengangkat isu kesihatan mental dan bakal menemui penonton pada 10 Oktober ini.
- Pengarah Ekien Zainal: pentingnya mengetengahkan isu kesihatan mental melalui karya kreatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.
- Telefilem menggambarkan betapa sengsaranya individu yang menghadapi masalah mental, walaupun secara fizikal kelihatan normal.
- Pesan supaya penonton tidak memandang negatif atau melabel golongan yang mengalami masalah mental.
- Penulis skrip Che Li menyeru pembuat kandungan meneroka isu mental dan hentikan penggunaan label stigma seperti 'gila'.
Pengarahnya, Nor Ashikin Zainal atau lebih dikenali sebagai Ekien Zainal, berkata isu kesihatan mental perlu terus diketengahkan menerusi karya kreatif bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.
“Di penghujung cerita, kita dapat melihat betapa sengsaranya seseorang yang mengalami masalah kesihatan mental yang tidak disedarinya sendiri.
“Melalui cerita ini, kita mahu penonton sedar supaya tidak mempunyai pandangan negatif atau stigma terhadap mereka yang mengalami masalah kesihatan mental. Secara fizikalnya mereka kelihatan normal, tetapi kita tidak tahu apa yang berlaku dalam diri mereka.
“Melalui Miselia, kita dapat merasai betapa sengsaranya individu yang berdepan masalah kesihatan mental,” katanya ketika ditemui selepas sesi pratonton telefilem Miselia, di sini, hari ini.

Sementara itu, penulis skrip Miselia, Che Li (Nazli) berharap lebih ramai pembikin kandungan, drama dan filem meneroka isu kesihatan mental menerusi karya mereka.
“Penyakit mental ini sebenarnya lumrah dalam kehidupan manusia. Kalau dulu kita menganggap perkara ini tabu, kita melabel orang sebagai ‘gila’ atau ‘sasar’ dan macam-macam lagi.
“Mulai sekarang, kita jangan labelkan orang lagi,” katanya.
Telefilem arahan Nor Ashikin itu menampilkan Niezam Zaidi dan Shiqin Kamal sebagai pelakon utama, selain Azhar Sulaiman, Ellie Suriaty, Tony Eusoff, Adam Shahz, Irfan Zaini, Zarul Umbrella, Jessie Lim dan Ali Jamalullail.
Miselia akan disiarkan pada 10 Oktober, pukul 9 malam di TV1 dan boleh distrim menerusi RTMKlik.