Generasi muda penting pastikan warisan Selangor terus lestari

Festival Budaya Selangor “Inilah Selangor” di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat, malam tadi/ (Foto kecil: Datuk Borhan Aman Shah)/ RTM

KUALA LANGAT, 20 September- Generasi muda perlu diberi ruang untuk mengenali, mempelajari dan meneruskan seni, budaya serta warisan Selangor bagi memastikan khazanah negeri itu terus dipelihara dan diwarisi generasi akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Festival jadi medan pertemuan generasi lama dan baru, kongsi ilmu, kemahiran serta bangkitkan rasa bangga terhadap budaya sendiri.
  • Festival menyatukan masyarakat, mengangkat seni warisan, merancakkan ekonomi setempat dan memperkenalkan keunikan Selangor kepada pelawat domestik dan antarabangsa.
  • Penganjuran menonjolkan persembahan kebudayaan, permainan rakyat, seni bela diri dan identiti sembilan daerah sebagai wadah pemerkasaan budaya.

Exco Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata usaha itu penting supaya generasi muda bukan sekadar mengenali seni, adat dan warisan negeri melalui bahan rakaman atau dokumentasi lama.

“Kita tidak mahu generasi akan datang hanya mengenali seni, adat dan warisan Selangor melalui gambar, buku atau rakaman lama. Mereka perlu diberikan peluang untuk melihat, mempelajari, mencuba dan akhirnya meneruskan warisan tersebut.

“Saya berharap Festival Budaya Selangor terus menjadi medan yang menemukan generasi lama dan generasi baharu, tempat ilmu dan kemahiran dapat dikongsi, bakat baharu diketengahkan dan rasa bangga terhadap budaya sendiri dapat dipupuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Festival Budaya Selangor “Inilah Selangor” di Dataran Pantai Batu Laut, di sini, malam tadi.

Beliau turut berharap festival itu terus berkembang sebagai platform menyatukan masyarakat, mengangkat seni dan warisan serta merancakkan ekonomi setempat, selain memperkenalkan keunikan Selangor kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

Festival Budaya Selangor 2026 yang memasuki tahun ketiga penganjuran menyediakan pelbagai pengisian termasuk persembahan kebudayaan, permainan rakyat, seni bela diri dan aktiviti kanak-kanak, selain mengetengahkan identiti sembilan daerah di negeri itu.

Festival lima hari yang berakhir hari ini menyasarkan kira-kira 100,000 pengunjung.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.