KPWKM terus perluas akses rawatan kesuburan melalui program BuAI

Lim Hui Ying

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Akses kepada perkhidmatan rawatan kesuburan terus diperluas di seluruh negara bagi membantu pasangan yang berdepan masalah infertiliti, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kadar kesuburan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPWKM komited melaksanakan peluasan fasiliti LPPKN, kerjasama awam-swasta dan program BuAI.
  • Program BuAI memberi subsidi rawatan kepada pasangan yang layak serta advokasi dan bimbingan kepada yang tidak layak.
  • LPPKN menyediakan perkhidmatan kesuburan di beberapa klinik mengikut zon.
  • Kementerian menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya dua lagi klinik kesuburan setiap tahun.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi peluasan fasiliti rawatan kesuburan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), kerjasama awam-swasta serta Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) bagi memastikan rawatan kesuburan yang berkualiti dan mampu dibiayai dapat dinikmati pasangan yang kurang berkemampuan.

“KPWKM komited untuk terus memperluas akses kepada perkhidmatan kesuburan menerusi peluasan fasiliti rawatan kesuburan LPPKN, kerjasama awam-swasta serta inisiatif seperti Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI).

“Langkah ini bagi memastikan lebih ramai pasangan, khususnya golongan kurang berkemampuan, dapat menikmati akses kepada rawatan kesuburan yang berkualiti dan lebih mampu dibiayai, termasuk mendapatkan rawatan di fasiliti swasta,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff pada persidangan Dewan Negara.

Program BuAI menyediakan subsidi rawatan kepada pasangan yang memenuhi syarat kelayakan, manakala pasangan yang tidak layak tetap diberikan khidmat advokasi dan bimbingan bagi membantu mereka mendapatkan maklumat serta pilihan rawatan yang bersesuaian.

LPPKN kini menyediakan perkhidmatan rawatan kesuburan di beberapa klinik mengikut zon di seluruh negara.

Kementerian turut menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya dua lagi klinik kesuburan setiap tahun bagi memperluas akses kepada pasangan yang memerlukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.