Kerajaan perkukuh industri pertahanan, tumpu pembangunan teknologi

Foto RTM

KUALA LUMPUR , 30 Julai – Kerajaan komited memperkukuh industri pertahanan tempatan selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) menerusi pembangunan teknologi strategik, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pemindahan teknologi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tumpuan pembangunan teknologi seperti dron, radar, sensor, kecerdasan buatan dan sistem pengawasan sempadan untuk tingkatkan kesedaran maritim.
  • STRIDE bersama Angkatan Tentera Malaysia memuktamadkan Strategi Pembangunan Dron Pertahanan Negara sebagai hala tuju keupayaan dron masa depan.
  • Elemen ICP diwajibkan dalam setiap perolehan untuk pemindahan teknologi kepada syarikat tempatan termasuk UAS ANKA fasa kedua dari Turkiye.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata tumpuan diberikan kepada pembangunan teknologi seperti dron, radar, sensor, kecerdasan buatan (AI) dan sistem pengawasan sempadan bagi mempertingkatkan kesedaran domain maritim negara.

Katanya Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang memuktamadkan Strategi Pembangunan Dron Pertahanan Negara sebagai hala tuju pembangunan keupayaan dron pertahanan negara pada masa hadapan.

“Setiap perolehan pertahanan baharu diwajibkan mengandungi elemen ICP bagi membolehkan pemindahan teknologi dan pengetahuan kepada syarikat-syarikat tempatan sekali gus meningkatkan keupayaan negara membangun dan menghasilkan serta menyelenggara aset pertahanan dalam negara.

“Ini termasuk perancangan perolehan sistem pesawat tanpa pemandu UAS ANKA fasa yang kedua dari Turkiye bukan sahaja bertujuan meningkatkan keupayaan operasi IPN malah akan dimanfaatkan melalui ICP untuk memperkukuhkan industri pertahanan negara menerusi pemindahan teknologi, pemindahan pengetahuan dan pembangunan kapasiti syarikat tempatan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Ahmad Datuk Sri Ibrahim di Dewan Negara, hari ini.

Bagi perancangan jangka panjang katanya kerajaan akan terus meningkatkan penggunaan teknologi tempatan dalam memperkukuh pemantauan kawasan maritim dan sempadan negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Antara projek yang sedang dibangunkan ialah perkhidmatan satelit pertahanan, sistem perisikan elektronik pasif dan Loitering Munition System atau dron kamikaze.

“Inisiatif ini dijangka meningkatkan keupayaan pemantauan maritim dan sempadan secara lebih berkesan, berterusan serta masa nyata sekali gus, mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar dan membangunkan ekosistem industri pertahanan tempatan yang lebih berdaya saing dan mampan,” ujar beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.