MARA sedia kongsi kajian sifar buli MRSM dengan KPM, tempatkan warden bekas tentera

Gambar hiasan / Foto ihsan MARA Corporation

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar mempertimbangkan penempatan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera di sekolah sebagai langkah menangani gejala buli yang semakin membimbangkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • MARA sedia berkongsi kajian UPM dengan KPM bagi menilai keberkesanan projek rintis warden bekas tentera.
  • Dapatan utama termasuk sifar kes buli, peningkatan disiplin, pemantauan lebih konsisten dan tindak balas kebajikan serta keselamatan lebih pantas.
  • Inisiatif diperluaskan ke 10 MRSM, modul latihan khas UPM disediakan, serta membuka peluang pekerjaan bagi veteran ATM tidak berpencen.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu dibuat susulan kejayaan projek rintis pelantikan warden luar sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), yang menunjukkan impak positif terhadap disiplin dan keselamatan pelajar.

Menurut beliau, MARA bersedia berkongsi hasil kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai keberkesanan projek rintis berkenaan dengan KPM bagi menilai potensi pelaksanaannya di sekolah di bawah kementerian itu.

“Antara dapatan utama sepanjang tempoh pelaksanaan ialah sifar kes buli direkodkan, selain tahap disiplin pelajar meningkat.

Pemantauan juga lebih konsisten, manakala tindak balas terhadap isu kebajikan dan keselamatan pelajar menjadi lebih pantas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, kajian yang dijalankan selama sembilan bulan itu turut mendapati suasana asrama menjadi lebih selamat, kemas dan kondusif.

Selain itu, guru tidak lagi dibebankan dengan tugas sebagai warden, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab hakiki mengajar dan mendidik pelajar.

Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata, pencapaian akademik pelajar turut menunjukkan peningkatan, manakala maklum balas yang diterima daripada pelajar melalui tinjauan dan lawatan lapangan adalah sangat positif.

Menurut beliau, antara faktor kejayaan inisiatif itu ialah gabungan ketegasan dan nilai keibubapaan yang dimiliki bekas anggota tentera.

“Gabungan elemen ketegasan dan nilai keibubapaan ini menjadikan mereka bukan sekadar warden, tetapi pembimbing dan pendidik kepada anak-anak di asrama,” katanya.

Berpandukan dapatan kajian itu, MARA memutuskan untuk memperluaskan pelaksanaan inisiatif berkenaan ke 10 lagi MRSM bermula bulan lalu sebagai langkah pengukuhan awal sebelum diperluaskan ke semua 58 MRSM di seluruh negara mulai Januari tahun depan.

Beliau berkata, pendekatan itu diyakini mampu memperkukuh sistem pengurusan asrama secara lebih tersusun, profesional dan berkesan.

Pada masa sama, beliau berkata, pasukan penyelidik UPM yang diketuai Prof. Dr. Haslinda turut diminta membangunkan modul latihan khusus untuk warden yang bakal dilantik.

Katanya, modul itu akan memberi penekanan kepada aspek disiplin, keselamatan, nilai kemanusiaan, empati dan keibubapaan bagi memastikan warden dapat berperanan sebagai pembimbing kepada pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan MARA.

Datuk Dr Asyraf Wajdi turut berpandangan inisiatif berkenaan mampu membuka peluang pekerjaan kepada bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menamatkan perkhidmatan ketika masih berada dalam usia produktif.

“Selain itu, ia juga boleh menjadi antara alternatif bagi membantu menangani isu kebajikan veteran ATM, khususnya veteran tidak berpencen, yang sering dibangkitkan kerana tidak semua menikmati pencen bulanan bergantung kepada tempoh perkhidmatan yang diiktiraf,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.