Program Karakter Bangsa mampu lahirkan pemimpin muda berwawasan, berintegriti

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika ditemui pada Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia Pelajar Tingkatan Enam di Seremban / Foto RTM

SEREMBAN, 26 Julai – Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia diyakini mampu melahirkan barisan pemimpin muda yang berfikiran matang, berwawasan serta berintegriti untuk menerajui Negeri Sembilan pada masa depan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program membentuk jati diri pelajar, memperkukuh nilai kepimpinan dan semangat cintakan negara sejak diperkenalkan 2023.
  • Program tiga hari menghimpunkan kira-kira 500 peserta termasuk 280 pelajar Tingkatan Enam dari seluruh Negeri Sembilan.
  • Dianjurkan melalui kerjasama Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pertubuhan Penggerak MADANI, Yayasan Negeri dan Kerajaan Negeri.
  • Pengisian berteraskan kepimpinan, tanggungjawab sosial, kesukarelawanan, patriotisme dan enam teras Malaysia MADANI membentuk pelajar berintegriti serta bersedia menyumbang.

Beliau berkata, program yang dilaksanakan sejak 2023 itu bukan sahaja membentuk jati diri pelajar, malah menjadi platform memupuk semangat patriotisme, kepimpinan dan daya tahan generasi muda agar tidak mudah terpengaruh dengan budaya yang boleh menjejaskan keamanan serta kesejahteraan masyarakat.

“Saya yakin Program Karakter Bangsa ini mampu melahirkan pemimpin masa depan Negeri Sembilan yang berfikiran jauh dan matang. Saya juga berharap mereka tidak terpengaruh dengan budaya yang boleh merosakkan keamanan dan kesejahteraan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia Pelajar Tingkatan Enam Peringkat Negeri Sembilan di Klana Resort, di sini.

Program selama tiga hari itu menghimpunkan kira-kira 500 peserta dan jemputan, termasuk 280 pelajar Tingkatan Enam dari seluruh Negeri Sembilan yang mengikuti kohort program kali ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohd Taufiq Johari; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim serta Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar.

Program berkenaan dianjurkan menerusi kerjasama Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pertubuhan Penggerak MADANI Negeri Sembilan, Yayasan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri.

Sejak diperkenalkan pada 2023, program itu bertujuan membentuk jati diri pelajar, memperkukuh nilai kepimpinan serta memupuk semangat cintakan negara sebagai persediaan melahirkan pemimpin masa depan.

Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai pengisian berteraskan kepimpinan, tanggungjawab sosial, kesukarelawanan dan patriotisme yang berpaksikan enam teras Malaysia MADANI, sekali gus membentuk pelajar yang berintegriti, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.