
KUALA LUMPUR, 22 Julai– 94 lokasi strategik di seluruh negara dikenal pasti bagi pelaksanaan projek menaik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya.
- Peruntukan RM27.85 juta untuk 77 lokasi di bawah program blackspot.
- Peruntukan RM5.2 juta bagi 17 lokasi LPKSI (lintasan pejalan kaki berlampu isyarat).
- Lebih RM120 juta diperuntukkan untuk penambahbaikan 336 lokasi kerap kemalangan sejak 2023.
- Projek tingkatkan keselamatan pengguna jalan raya, beri peluang kepada kontraktor G1 hingga G4 dan kenal pasti lokasi baharu termasuk Sabah serta Sarawak.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan akan memberi manfaat kepada penduduk di 11 negeri dan 36 daerah.
“Pelaksanaan projek tersebut akan melibatkan 77 lokasi bawah program blackspot dengan peruntukan sebanyak RM27.85 juta.
Selain itu, 17 lokasi bawah program Lintasan Pejalan Kaki Searas Berlampu Isyarat (LPKSI) dengan peruntukan sebanyak RM5.2 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek dan Surat Setuju Terima (SST) bagi Program Cakna MADANI: Pelaksanaan Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya Tahun 2026, di sini.
Beliau turut memaklumkan, lebih RM120 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan projek penambahbaikan melibatkan 336 lokasi kerap berlaku kemalangan di seluruh negara sejak 2023.
“Berdasarkan data, Kedah merekodkan jumlah tertinggi blackspot iaitu sebanyak 51 lokasi, diikuti Kelantan (46), Sabah (36) dan Negeri Sembilan (33).
Projek berkenaan bukan sahaja meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, malah memberi peluang kepada kontraktor G1 hingga G4 menghasilkan manfaat yang dapat dirasai pengguna,” ujarnya lagi.
Datuk Seri Alexander turut menegaskan, pihaknya akan terus mengenal pasti lokasi-lokasi baharu yang memerlukan penambahbaikan, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Usaha itu akan sentiasa diperkukuh bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus dipertingkatkan.