Akta 333: JPM Hal Ehwal Agama sedia kongsi kepakaran

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan kesediaan untuk berkongsi kepakarannya bagi menambahbaik pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan mewajibkan pesalah membayar pampasan selari mekanisme diyat dalam perundangan syariah.
  • Melihatnya sebagai peluang menerapkan elemen perundangan syariah dalam pindaan akta berkenaan.
  • Kajian mekanisme diyat sejak Februari dengan mufti dan pakar perundangan untuk memastikan pampasan dan keadilan bagi keluarga mangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata cadangan mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa kemalangan selari dengan mekanisme diyat dalam perundangan syariah.

Justeru beliau melihat ia sebagai satu peluang yang perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi menerapkan elemen perundangan syariah dalam pindaan akta berkenaan.

“Kita sedang menunggu apa cadangan yang akan dikemukakan oleh Kementerian Pengangkutan.

“Pada masa sama, bagi pihak jabatan ini kita bersedia berkongsi dapatan kajian yang telah dilaksanakan sebelum ini kepada pihak berkaitan,” ujarnya.

Kajian mengenai mekanisme diyat katanya telah mula dilaksanakan sejak Februari lalu dengan penglibatan barisan mufti dan pakar perundangan bagi memastikan keluarga mangsa mendapat hak pampasan serta keadilan mengikut perundangan syariah.

Dr Zulkifli ditemui selepas menghadiri Majlis Apresiasi Ahli Jawatankuasa Perundangan Islam Sesi 2024-2026 di sini.

Majlis apresiasi tersebut diadakan sebagai penghargaan kepada ahli jawatankuasa yang berperanan menambah baik, menyelaras dan menggalakkan penyeragaman undang-undang syariah antara negeri-negeri selain pengharmonian antara undang-undang syariah dengan undang-undang sivil.

Pelbagai isu perundangan dibincangkan dalam tempoh 2024 hingga 2026 termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Wasiat Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) serta RUU Kawalan dan Sekatan Agama Orang Bukan Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.