
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Seramai 320 pegawai dan anggota daripada pelbagai formasi di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) menyertai Ujian Rentas Halangan JKDNKA 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 19 hingga 22 Julai, melibatkan 20 pasukan.
- Pertandingan menjadi platform strategik memperkukuh kesiapsiagaan operasi, profesionalisme dan pembangunan modal insan warga JKDNKA.
- Program bertujuan memastikan pegawai sentiasa bersedia menghadapi cabaran keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam yang dinamik.
- Ujian menilai kecergasan fizikal, ketahanan mental, semangat berpasukan, kerjasama serta kepimpinan dalam tugasan mencabar.
- Aktiviti akan diteruskan bagi memperkukuh keupayaan operasi; tugas mereka menjaga ketenteraman awam dan mempertahankan kedaulatan negara.
Pengarah JKDNKA Bukit Aman, CP Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pertandingan itu bukan sekadar medan persaingan, malah menjadi platform strategik untuk memperkukuh kesiapsiagaan operasi, profesionalisme serta pembangunan modal insan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata penganjuran pertandingan berkenaan bertujuan memastikan setiap pegawai dan anggota sentiasa bersedia menghadapi cabaran keselamatan dalam negeri serta ketenteraman awam yang semakin dinamik.
“Pertandingan mara lasak dan rentas halangan ini menguji keupayaan setiap pegawai dan anggota JKDNKA dari segi kesiapsiagaan, khususnya kecergasan fizikal dan ketahanan mental.
“Ia turut menguji semangat berpasukan (esprit de corps), kerjasama serta kepimpinan dalam melaksanakan tugasan yang mencabar.
“Tugas mereka bukan sahaja menjaga ketenteraman dan keselamatan awam, malah turut mempertahankan kedaulatan negara,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan pertandingan itu di Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), hari ini.
Beliau berkata pertandingan seumpama itu akan terus dijadikan platform untuk memperkukuh keupayaan operasi serta memastikan warga JKDNKA sentiasa bersedia menghadapi pelbagai cabaran keselamatan negara.