
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Sebanyak 2,234 outlet KoopMart aktif beroperasi di seluruh negara setakat 30 Jun lalu.
- 209 premis KoopMart diluluskan sebagai rakan niaga MyKasih, membolehkan penerima menebus barangan keperluan menggunakan kad pengenalan.
- KUSKOP melalui SKM menyeragamkan identiti KoopMart untuk memperkenalkan jenama sejak 1922 dan menawarkan harga beras serta minyak masak kompetitif.
- SKM menekankan pembangunan pusat pengedaran koperasi; 45 pusat pengedaran telah diwujudkan untuk sokong rangkaian pemborongan dan peruncitan.
- SKM menyediakan peruntukan RM1 juta tahun ini untuk membangunkan pusat pengedaran dan sub-distribution center; tiga koperasi menerima bantuan RM618,380.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata bagi tempoh sama, sebanyak 209 premis KoopMart telah diluluskan sebagai rakan niaga MyKasih Foundation bagi pelaksanaan Program MySARA dan MyKasih.
Ia untuk membolehkan penerima bantuan menebus barangan keperluan asas menggunakan kad pengenalan di kedai koperasi.
“KUSKOP melalui SKM telah dan sedang melaksanakan beberapa langkah yang strategik. Antaranya memperkukuh penjenamaan KoopMat melalui penyeragaman identiti premis di seluruh negara bagi memperkenalkan jenama Koop sejak 1922.
Bagi produk keperluan asas seperti beras dan minyak masak yang ditawarkan pada harga kompetitif berbanding harga pasaran. Pada masa sama, KUSKOP melalui SKM telah memperluas penyertaan KoopMat sebagai rakan niaga My Kasih Foundation,” katanya pada persidangan Dewan Negara.
Katanya lagi, bagi memperkukuh rantaian bekalan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut memberi penekanan kepada pembangunan pusat pengedaran koperasi.
Jelas beliau, sehingga kini 45 pusat pengedaran koperasi telah diwujudkan di seluruh negara bagi menyokong rangkaian pemborongan dan peruncitan koperasi.
Selain itu, melalui Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi, SKM menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM1 juta tahun ini bagi membangunkan dan mengembangkan pusat pengedaran serta sub-distribution center.
Setakat Jun lepas, sebanyak tiga koperasi telah diluluskan menerima bantuan berjumlah RM618,380 di bawah projek berkenaan.