Projek Sabah Southern MADANI Link perkukuh kestabilan, keselamatan bekalan elektrik

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Pelaksanaan Projek Sabah Southern MADANI Link (SSML) oleh Kerajaan Negeri Sabah merupakan pelaburan strategik bagi memperkukuh kestabilan dan keselamatan bekalan elektrik di negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • SSML menyokong integrasi penjanaan baharu, meningkatkan kecekapan kos sistem elektrik dan memantapkan kedudukan Sabah dalam agenda integrasi tenaga serantau.
  • Projek ini mengukuhkan rangkaian penghantaran 275 kilovolt dan memastikan tenaga dari sumber sedia ada dan baharu sampai ke pantai timur Sabah.
  • Sebagai laluan alternatif melalui selatan Sabah, SSML meningkatkan ketahanan dan kebolehpercayaan grid serta membuka peluang perdagangan tenaga rentas sempadan.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), projek itu menyokong integrasi penjanaan baharu, meningkatkan kecekapan kos sistem elektrik dan memperkukuh kedudukan Sabah dalam agenda integrasi tenaga serantau.

Jelas PETRA projek SSML itu juga bertujuan memperkukuh sistem penghantaran elektrik 275 kilovolt di Sabah dan berperanan penting bagi memastikan tenaga daripada sumber penjanaan sedia ada serta baharu dapat disalurkan khususnya ke pantai timur Sabah.

Pada masa ini, sebahagian besar sumber penjanaan yang lebih kompetitif dari segi kos tertumpu di kawasan pantai barat, manakala permintaan elektrik di pantai timur terus meningkat.

“Kebergantungan kepada talian penghantaran tunggal 275 kilovolt Kolopis-Segaliud sedia ada, menjadikan projek SSML ini penting sebagai laluan alternatif melalui bahagian selatan Sabah, sekali gus meningkatkan ketahanan dan keboleharapan grid sekiranya berlaku gangguan pada sistem penghantaran sedia ada,” katanya dalam jawapan lisan Dewan Negara yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk Edward Linggu Bukut mengenai projek SSML dan margin rizab bekalan elektrik Sabah bagi tempoh lima tahun.

Dalam pada itu, projek SSML dan projek sambung tara Sabah-Sarawak akan membentuk sistem grid yang lebih kukuh, bersepadu dan berdaya tahan.

“Infrastruktur ini juga menyediakan asas kepada penyertaan Sabah dalam Grid Tenaga ASEAN (APG) pada masa hadapan bagi membuka peluang perdagangan tenaga rentas sempadan, iaitu mengimport tenaga apabila lebih ekonomik atau mengeksport tenaga apabila terdapat lebihan tenaga di Grid Sabah,” tambah PETRA.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Sabah juga sedang dan akan melaksanakan pelbagai projek termasuk penambahan kapasiti penjanaan gas di pantai timur dan pantai barat, pembangunan projek hidroelektrik dan solar berskala besar, penambahan sistem storan tenaga bateri (BESS) serta pengukuhan rangkaian penghantaran utama.

Tambahnya, pelaksanaan projek-projek tersebut dijangka memastikan kapasiti penjanaan mencukupi bagi keperluan Sabah dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.