22 tahun hilang, wanita Malaysia ditemui di Flores selamat pulang ke tanah air

Penasihat PEKEMAS, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menyambut ketibaan Mariam Mohamad Nazeri di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah

SUBANG, 21 Julai – Selepas 22 tahun terpisah daripada keluarga, wanita Malaysia yang dilaporkan hilang akhirnya ditemui di Flores, Indonesia sebelum dibawa pulang ke tanah air, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Norshamsiah berkata Mariam dipercayai ke Indonesia pada 2004 bersama anak perempuan, terakhir menghubungi keluarga pada 2011 memohon bantuan.
  • Usaha pencarian melibatkan PEKEMAS, Wisma Putra, Imigresen, JPN, Kedutaan, media sosial dan penduduk tempatan di Flores.
  • Geografi Flores sukar, banyak pulau dan kampung, jadi pencarian menggunakan media sosial dan jaringan komuniti setempat.
  • Mariam ditempatkan di bawah jagaan sementara di Flores sebelum dokumentasi dengan Kedutaan Malaysia di Jakarta diselesaikan untuk pemulangan.

Mariam Mohamad Nazeri tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah kira-kira pukul 10.00 malam menerusi penerbangan Batik Air Malaysia OD349.

Anak saudaranya, Norshamsiah Zainal Abidin berkata, Mariam dipercayai meninggalkan Malaysia ke Indonesia pada 2004 bersama anak perempuannya sebelum hubungan dengan keluarga terputus.

Menurutnya, panggilan terakhir daripada Mariam diterima pada 2011 ketika beliau berada dalam keadaan tertekan dan meminta bantuan untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Usaha mengesan Mariam dilakukan menerusi pelbagai saluran termasuk bantuan Pertubuhan Kebajikan Malaysia (PEKEMAS), Wisma Putra, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kedutaan Malaysia, media sosial serta penduduk tempatan di Flores.

“Kita tahu Flores ini luas, terdiri daripada banyak pulau dan satu-satu kawasan pula mempunyai puluhan kampung. Jadi apabila kita mencari, memang sukar kerana kita tidak tahu lokasi sebenar.

“Sebab itu kita gunakan media sosial dan berkawan dengan masyarakat di sana bagi membantu usaha pencarian,” katanya.

Mariam kemudiannya ditempatkan di bawah jagaan sementara di Flores sebelum proses dokumentasi bersama Kedutaan Malaysia di Jakarta diselesaikan bagi membolehkan beliau dibawa pulang ke tanah air.

Pada masa sama, Norshamsiah menasihatkan keluarga yang mempunyai ahli keluarga di luar negara supaya sentiasa mengambil tahu keadaan mereka dan segera berusaha membantu sekiranya mengetahui lokasi atau situasi mereka.

“Nasihat saya kepada mereka yang tahu keluarga berada di sana, ambil tahu dan jangan biarkan. Kita tidak tahu bagaimana keadaan mereka di sana. Bila sudah mengetahui, berusahalah untuk membantu dan jangan biarkan mereka begitu sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, Penasihat PEKEMAS, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerjasama antara agensi berjaya merealisasikan usaha membawa pulang Mariam meskipun berdepan beberapa cabaran.

“Kolaborasi ini berjaya dilaksanakan dengan baik dan akhirnya kita dapat membawa mereka pulang.

“Walaupun mengambil masa kerana jadual asal untuk membawa Mariam kembali adalah Isnin lalu, usaha itu sedikit tertangguh susulan bencana gunung berapi yang menjejaskan perjalanan,” katanya ketika ditemui RTM.

Kepulangan Mariam menamatkan penantian panjang keluarganya yang berusaha menjejaki beliau selama lebih dua dekad.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.