
SEREMBAN, 16 Oktober – Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memberi jaminan aspek keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah sentiasa menjadi keutamaan susulan penemuan bungkusan mencurigakan di beberapa sekolah di negeri itu.
- Pihak sekolah mengambil tindakan keselamatan sewajarnya mengikut garis panduan pengurusan sekolah selamat.
- Pemeriksaan dan tindakan lanjut dijalankan polis di lokasi. Siasatan diserahkan kepada pihak berkuasa.
- Warga sekolah dan ibu bapa dinasihatkan tidak membuat spekulasi dan merujuk saluran rasmi untuk maklumat tepat.
JPNS dalam kenyataan memaklumkan, pihak sekolah terlibat telah mengambil tindakan keselamatan sewajarnya berpandukan garis panduan pengurusan sekolah selamat.
“Pihak polis telah berada di lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan lanjut mengikut prosedur ditetapkan.
“Urusan pemeriksaan serta siasatan diserahkan kepada pihak berkuasa dan memberikan kerjasama kepada polis serta agensi berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Warga sekolah dan ibu bapa dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Sebaliknya, orang ramai diminta merujuk saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat tepat.