
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kementerian Sumber Manusia sedia memperhalusi cadangan pembinaan Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Sarawak bagi memudahkan pesakit di negeri itu mendapatkan rawatan pemulihan.
- Cadangan memerlukan kajian menyeluruh; faktor dinilai termasuk impak sosioekonomi, kemampanan dana, geografi, keperluan dan keutamaan projek.
- Sarawak mempunyai 14 panel rehabilitasi PERKESO di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri untuk melengkapkan ekosistem perkhidmatan hospital.
- Kemudahan sedia ada bukan Pusat Rehabilitasi lengkap tetapi tetap memastikan individu berinsurans menerima rawatan, perkhidmatan dan nasihat sewajarnya.
- PERKESO bekerjasama dengan UNIMAS menyediakan kemudahan di Hospital Pengajar UNIMAS, memberi manfaat kepada 756,403 pencarum di Sarawak.
Timbalan Menterinya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan memberitahu cadangan itu memerlukan kajian menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Antara faktor utama yang akan dinilai termasuk impak sosioekonomi, kemampanan dana organisasi, faktor geografi, keperluan semasa, serta tahap keutamaan projek berkenaan.
“Di Sarawak, terdapat 14 panel rehabilitasi PERKESO meliputi Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri yang menawarkan perkhidmatan pemulihan bagi melengkapkan ekosistem perkhidmatan hospital sedia ada.
“Walaupun kemudahan itu tidak boleh disamakan dengan sebuah Pusat Rehabilitasi PERKESO yang lengkap, namun ia tetap memainkan peranan penting dalam memastikan individu berinsurans menerima rawatan pemulihan, perkhidmatan serta nasihat yang sewajarnya,” katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Larry anak Asap pada Sidang Dewan Negara.
Beliau dalam pada itu menjelaskan, PERKESO telah mengadakan kerjasama strategik dengan Universiti Sarawak (UNIMAS) bagi menyedia dan memanjangkan program serta kemudahan berkaitan rehabilitasi di Sarawak menerusi penyediaan kemudahan di Hospital Pengajar UNIMAS.
Inisiatif itu memberi manfaat kepada 756,403 pencarum Perkeso di Sarawak yang mencarum di bawah Lindung Pekerja, Lindung Kendiri dan Lindung Kasih bagi mendapatkan faedah rawatan rehabilitasi.