
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) terus memantau perkembangan harga getah dunia susulan ketidaktentuan geopolitik serta turun naik harga petroleum yang mempengaruhi pasaran global.
- RISDA laksanakan inisiatif tingkatkan produktiviti pekebun kecil melalui sokongan teknikal dan program pembangunan.
- Program utama termasuk PHGM, FASGET dan PGB untuk memantapkan pengeluaran dan pemasaran getah.
- RISDA Plantation Sdn. Bhd. bertindak sebagai pembeli utama dengan menawarkan harga belian yang kompetitif.
- Tumpuan kepada pengurangan kos pengeluaran, peningkatan kecekapan pemasaran dan kepelbagaian sumber pendapatan pekebun kecil.
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, RISDA melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu pekebun kecil meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos pengeluaran serta memperkukuh sistem pemasaran hasil getah.
“Walaupun harga getah dipengaruhi oleh faktor-faktor pasaran global yang berada di luar kawalan kerajaan, KKDW melalui RISDA akan terus memperkukuh usaha meningkatkan produktiviti kebun, mengurangkan kos pengeluaran, mempertingkatkan kecekapan pemasaran serta menggalakkan kepelbagaian sumber pendapatan pekebun kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr. Mustafa Musa pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Negara.
Menurut beliau, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Program Pengeluaran Hasil Getah Matang (PHGM), Program Fasiliti Pemasaran Getah (FASGET), Program Pemasaran Getah Bergerak (PGB) serta peranan RISDA Plantation Sdn. Bhd. sebagai pembeli utama getah yang menawarkan harga belian kompetitif.
Katanya, langkah tersebut diharap dapat meningkatkan daya tahan ekonomi pekebun kecil serta memperkukuh daya saing industri getah negara meskipun harga komoditi itu terus dipengaruhi oleh faktor pasaran global.