
LANGKAWI, 20 Julai – Langkawi menjadi bandar perintis penggunaan jentera elektrik bagi pembersihan awam di sekitar Pantai Cenang dan kawasan pusat bandar pulau pelancongan itu.
- E-Idaman memperkenalkan tiga jentera pembersihan elektrik melalui kontraktor lantikan.
- Tiga jentera terdiri daripada dua Beach Comber dan sebuah Road Sweeper.
- Zaki: inisiatif menyokong kelestarian alam serta memastikan kawasan pelancongan kekal bersih.
- Jentera EV meningkatkan kecekapan pembersihan, mengurangkan bunyi dan pelepasan karbon; operasi lebih pantas dan mudah dikendalikan.
Bermula dengan penggunaan dua unit ‘Gluton Vacuum’ untuk pembersihan jalan di Pantai Cenang, E-Idaman memperkenalkan tiga lagi jentera pembersihan elektrik melalui kontraktor lantikan. Tiga jentera elektrik (EV) berkenaan terdiri daripada dua unit ‘Beach Comber’ dan sebuah ‘Road Sweeper’.
Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd, Zaki Abdul Aziz, inisiatif itu merupakan usaha berterusan syarikat dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar, selain memastikan kawasan pelancongan sentiasa
berada pada tahap kebersihan yang terbaik.
Beliau berkata penggunaan jentera itu dijangka dapat meningkatkan kecekapan kerja pembersihan disamping mengurangkan pencemaran bunyi dan pelepasan karbon berbanding penggunaan jentera konvensional.
“Jentera pembersihan pantai ini menggunakan teknologi elektrik (EV), sekali gus menjadi satu anjakan daripada penggunaan enjin diesel kepada teknologi yang lebih mesra alam.
“Jentera ini mudah dikendalikan dan mampu melaksanakan kerja-kerja pembersihan dengan lebih pantas serta berkesan. Selain meningkatkan kecekapan operasi, penggunaannya juga membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan tiga buah jentera elektrik (EV) pembersihan awam di Pantai Tengah, Langkawi.
Tambahnya, setiap hari sebanyak 120 tan sampah dikutip seluruh Langkawi.