
KUALA LUMPUR, 20 Julai – Penghayatan semangat kebangsaan perlu diterjemahkan melalui tindakan memperkukuh perpaduan dan rasa tanggungjawab sebagai rakyat, bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan.
- Waspada terhadap pengaruh media sosial yang boleh memecahbelahkan melalui provokasi mengenai kaum, agama dan institusi raja.
- Patriotisme mesti disertai tanggungjawab memelihara perpaduan dengan menghormati Perlembagaan, Rukun Negara dan undang-undang.
- Perkukuh literasi digital agar masyarakat mampu menangkis naratif perpecahan dan berperanan sebagai warga negara bertanggungjawab.
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata semangat kemerdekaan perlu dibuktikan menerusi pembentukan rakyat yang berintegriti, bertanggungjawab serta mengutamakan kepentingan negara.
“Saya menyarankan rakyat Malaysia supaya berwaspada terhadap pengaruh media sosial yang boleh membentuk pemikiran sempit serta mementingkan diri.
“Media sosial yang tidak bertanggungjawab juga boleh mencetuskan provokasi dan hasutan melibatkan isu kaum, agama serta institusi raja yang mampu melemahkan perpaduan rakyat dan negara,” katanya.
Sementara itu, Pakar Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata semangat patriotisme setiap rakyat perlu disertai rasa tanggungjawab dalam memelihara perpaduan dengan menghormati Perlembagaan, Rukun Negara dan undang-undang.
“Soal perpaduan adalah tanggungjawab bersama sekali gus memperkukuh asas pembentukan negara,” jelasnya.
Tambah beliau, pengukuhan literasi digital juga penting bagi membolehkan masyarakat menangkis naratif yang boleh memecahbelahkan perpaduan negara.
“Perpaduan negara kita tidak boleh terbina dalam konteks apa yang cuba ‘disumbat’ melalui media sosial. Kita harus mempunyai keyakinan sebagai warga negara yang bertanggungjawab, tahu baik buruk di dalam mendepani cabaran kini dan akan datang,” jelasnya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru generasi muda menghayati semangat dan sejarah perjuangan serta pengorbanan generasi terdahulu demi membina Malaysia yang maju dan berdaya saing.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Ipoh, Perak.