
KUALA LUMPUR, 20 Julai – Kerajaan akan melaksanakan projek pengukuhan cerun dan baik pulih tebing sungai di Kampung Sungai Kayu Ara dan Kampung Chempaka sebagai usaha mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda kedua-dua kawasan itu.
- Tebing sungai semakin lemah dikenal pasti sebagai punca yang meningkatkan risiko banjir kilat ketika hujan lebat.
- Kerja sementara sudah dilaksanakan dengan pemasangan sheet piling kepingan keluli untuk mengukuhkan cerun dan mencegah tanah runtuh.
- Ahli Parlimen dan pihak berkuasa meminta JPS memastikan projek pengukuhan dan pembaikan tebing berjalan lancar.
- Proses pra-tender sedang berjalan; projek dijangka bermula bulan lapan, penyelesaian mungkin dua hingga tiga bulan selepas itu.
Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo berkata, keadaan tebing sungai yang semakin lemah dikenal pasti sebagai antara punca yang meningkatkan risiko banjir terutama ketika berlaku hujan lebat.
Sementara menunggu projek kekal dilaksanakan, beliau berkata, kerja-kerja sementara sudah mula dilaksanakan dengan pemasangan ‘sheet piling’ atau dinding penahan diperbuat daripada kepingan keluli bagi mengukuhkan cerun.
“Memang masalah di sini kita lihat kepada tebing sungai, memang dinding di tebing ini tidak kuat dan tidak selamat. Kita sudah melaksanakan kerja-kerja sementara dengan meletakkan piling sheet ini untuk memastikan cerun itu masih kukuh,” katanya ketika mengadakan lawatan hari ini Kampung Sungai Kayu Ara dan Kampung Chempaka yang terjejas akibat banjir kilat dan tanah runtuh, Sabtu lalu.
Beliau berkata, pihaknya sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memastikan projek pengukuhan cerun dan membaik pulih kawasan sungai itu berjalan lancar.
“Saya diberitahu, ia kini dalam proses pra-tender dan projek dijangka bermula dalam bulan lapan dan sekiranya semua berjalan lancar, mungkin dua atau tiga bulan selepas itu, masalah ini (banjir) dapat diselesaikan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga berharap, proses tender itu dapat dilaksanakan secara teratur, selain mengambil kira pendangan penduduk supaya kerja-kerja yang akan dilakukan itu mendapat persetujuan sepenuhnya.