
KUALA LUMPUR, 25 September – Penggunaan gajet secara berlebihan dalam kalangan kanak-kanak menjejaskan kualiti tidur dan penglihatan, selain mengehadkan interaksi bersama keluarga.
- Penggunaan gajet berlebihan menjejaskan kualiti tidur dan penglihatan serta mengurangkan interaksi keluarga.
- Pendedahan cahaya biru dari gajet meningkatkan risiko katarak, glaukoma dan merosakkan lapisan perlindungan mata.
- Ibu bapa perlu tetapkan had masa skrin, galakkan interaksi keluarga dan aktiviti tanpa skrin; sokongan sekolah dan komuniti penting.
Menurut Pengarah Holista Biotech Sdn Bhd, Datuk Dr. Rajen Manicka, kajian menunjukkan kanak-kanak menggunakan gajet purata empat jam sehari pada hari biasa dan meningkat kepada enam jam ketika hujung minggu.
“Sekarang ini, di kebanyakan sekolah, lebih kurang satu daripada tiga kanak-kanak masuk darjah Satu sudah memakai cermin mata dan keadaan ini bukan sahaja melibatkan kanak-kanak, malah penggunaan gajet yang mendedahkan mata kepada cahaya biru secara berlebihan juga boleh menjejaskan kesihatan mata.
“Pendedahan berlebihan kepada cahaya biru boleh meningkatkan risiko katarak dan glaukoma, selain menjejaskan lapisan perlindungan mata,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran kempen ‘Screen-Free Futures: Protecting Malaysia’s Children‘ di sini.
Datuk Dr. Rajen menggesa ibu bapa menetapkan had penggunaan gajet serta memastikan anak-anak mempunyai masa yang mencukupi untuk berkomunikasi dan melakukan aktiviti bersama keluarga.
“Kita boleh adakan undang-undang dan dasar kementerian, tetapi ibu bapa juga mesti mengambil tanggungjawab kerana di rumah, mereka yang mempunyai peranan utama dalam mengawal penggunaan gajet oleh anak-anak.
“Kalau tidak boleh ditetapkan dua jam, mungkin satu jam atau setengah jam, tetapi yang penting kita meningkatkan interaksi sesama manusia dan mengurangkan kebergantungan kepada gajet,” katanya lagi.
Pendekatan tanpa skrin turut diketengahkan dalam pendidikan awal kanak-kanak bagi menggalakkan aktiviti bermain dan interaksi secara langsung tanpa kebergantungan kepada gajet.
Kempen berkenaan menggalakkan keluarga, sekolah dan komuniti mengimbangi penggunaan skrin dengan aktiviti bermain, rehat dan hubungan kekeluargaan.
Inisiatif itu selaras dengan Dasar Kanak-Kanak Negara 2026-2030 bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), khususnya Keutamaan Strategik 8 dan Objektif 3.
Pendekatan berkenaan turut dirancang untuk diperluas ke beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Johor dan Sarawak susulan minat serta permintaan yang diterima.