
ALOR SETAR, 25 September – Peruntukan tambahan sebanyak RM2.8 juta diluluskan tahun ini bagi membaik pulih infrastruktur asas di 14 institusi pendidikan Islam di seluruh Kedah demi memastikan para pelajar dapat menuntut ilmu dalam persekitaran yang lebih selesa dan selamat.
- Kerajaan MADANI komited memartabatkan syiar Islam melalui kelulusan peruntukan, menurut Perdana Menteri.
- Usaha dilaksanakan menerusi pemerkasaan institusi pendidikan agama serta menyuburkan pengajian dan kefahaman ilmu hadis dalam masyarakat.
- Kelulusan RM250,000 diberikan kepada Majlis Ulama Suara Pondok (MUSTAQ) untuk Program Khatam Hadis Sunan Sittah dan Musthola Hadis.
- Perdana Menteri berharap ikhtiar itu memberi manfaat besar kepada pelajar dan terus menyuburkan budaya ilmu dalam masyarakat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memartabatkan syiar Islam di negara ini.
Menurut beliau, usaha itu dilaksanakan menerusi pemerkasaan institusi pendidikan agama serta menyuburkan pengajian dan kefahaman ilmu hadis dalam kalangan masyarakat.
“Kerajaan MADANI akan terus memartabatkan syiar Islam dengan memperkukuh institusi pendidikan Islam serta menyuburkan pengajian dan kefahaman ilmu hadis dalam masyarakat,” kata Perdana Menteri.
Selain bantuan infrastruktur, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Majlis Ulama Suara Pondok (MUSTAQ) bagi menjayakan pelaksanaan Program Khatam Hadis Sunan Sittah serta Musthola Hadis.
“Kedua-dua peruntukan berkenaan akan diselaraskan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Kedah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM),” jelasnya.
Datuk Seri Anwar berharap ikhtiar itu akan memberikan manfaat besar kepada para pelajar di samping terus menyuburkan budaya ilmu dalam masyarakat.