
KULAI, 25 September – Kerajaan Negeri Johor komited merangka pelan jangka pendek dan panjang secara serta-merta bagi menoktahkan masalah banjir kilat yang berulang di Kampung Pertanian di sini, demi keselamatan serta kebajikan penduduk.
- Pengerusi menzahirkan simpati mendalam kepada penduduk, memberi jaminan mereka tidak bersendirian menghadapi kehilangan harta.
- Pengerusi menegaskan tindakan pantas termasuk koordinasi jabatan, kerja pembersihan, penyaluran bantuan JKM dan mitigasi fizikal.
- Menghargai pasukan penyelamat, kepimpinan kampung dan sukarelawan atas tindakan pantas membantu mangsa sejak awal.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menzahirkan rasa simpati mendalam terhadap kesukaran penduduk tempatan yang terpaksa berdepan kerosakan harta benda akibat kejadian banjir kilat berkenaan, petang tadi.
“Remuk hati saya apabila menerima berita kejadian banjir kilat yang melanda kediaman penduduk di Kampung Pertanian. Air yang naik dengan begitu cepat memusnahkan pelbagai kelengkapan rumah dan barang berharga, sekali gus menguji ketabahan kita semua.
“Kepada seluruh warga Kampung Pertanian yang terkesan, yakinlah anda tidak bersendirian menghadapi ujian ini,” katanya selepas melakukan tinjauan turun padang di lokasi kejadian yang turut disertai pengurusan tertinggi agensi pentadbiran dan keselamatan negeri.
Datuk Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai menegaskan langkah pantas itu berteraskan komitmen Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Kerajaan Negeri yang sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan tertinggi.
“Kerajaan Negeri tidak akan berpeluk tubuh. Fokus utama kita bukan sekadar memberikan bantuan kecemasan, malah mencari jalan keluar secara tuntas.
“Kita akan pastikan koordinasi antara pelbagai jabatan dan Pejabat Daerah diselaraskan dengan pantas demi kerja pembersihan, penyaluran bantuan asas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta tindakan fizikal mitigasi banjir di kawasan hotspot ini,” tambah beliau menerusi kenyataan dalam Facebook rasminya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat, kepimpinan kampung dan sukarelawan tempatan atas tindakan pantas mereka membantu mangsa sejak awal kejadian.