
NEW JERSEY, 20 Julai – Aksi pada perlawanan akhir Piala Dunia bertukar menjadi pentas penuh emosi apabila bintang legenda Argentina, Lionel Messi dilihat meninggalkan padang dengan linangan air mata selepas impiannya untuk menutup tirai edisi kali ini sebagai juara musnah di tangan Sepanyol yang melakar kemenangan 1-0 pada Isnin.
- Scaloni bangga dengan semangat juang pemain Argentina hingga ke minit akhir meskipun mereka berjuang habis-habisan.
- Enzo Fernandez dilayangkan kad merah saat kecederaan babak kedua, meninggalkan Argentina bermain dengan 10 orang.
- Scaloni memuji komitmen Messi, percaya dia akan terus bermain sehingga dia sendiri membuat keputusan berhenti.
Di sebalik duka itu, pengurus Argentina, Lionel Scaloni tampil mempertahankan aksi pasukannya dan menegaskan beliau berbangga dengan pencapaian skuad Albiceleste yang telah berjuang habis-habisan sehingga ke minit akhir perlawanan.
Skuad kendalian Scaloni terpaksa menempuh laluan berliku di setiap peringkat kalah mati sebelum kehabisan tenaga pada babak kedua masa tambahan.
Malah situasi berkenaan menjadi lebih parah apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh skuad La Roja untuk memecah kebuntuan menerusi jaringan Ferran Torres, sekali gus meragut status juara bertahan yang dipegang Argentina.
“Saya berasa sedih. Banyak perkara yang boleh diungkapkan tentang bagaimana kami mampu melangkah sejauh ini, tetapi ia sudah tidak penting lagi.
“Jutaan terima kasih kepada semua pemain yang sekali lagi berjaya membawa kami ke perlawanan akhir.
“Mereka (Sepanyol) bermain lebih baik, itu hakikatnya. Namun, saya akan sentiasa mengenang memori indah tentang apa yang telah dicapai oleh barisan pemain saya. Kami kalah, dan kami menerimanya dengan hati terbuka,” kata Scaloni.
Terdahulu, misi Albiceleste untuk bangkit memburu kemenangan menerima tamparan hebat selepas pemain tengah, Enzo Fernandez dilayangkan kad merah pada masa kecederaan babak kedua.
Kekalahan itu turut menyaksikan ketua pasukan Argentina, Lionel Messi, 39, mencipta rekod beraksi dalam perlwanan akhir Piala Dunia ketiganya yang merupakan satu pencapaian luar biasa yang sebelum ini hanya pernah dilakukan oleh legenda Brazil, Cafu.
Mengulas mengenai masa depan pemenang Ballon d’Or lapan kali itu, Scaloni menyifatkan komitmen Messi sepanjang kejohanan sebagai sesuatu yang menakjubkan selepas meledak lapan gol dan beraksi setiap minit dalam semua perlawanan.
“Bagi saya, sudah terang lagi bersuluh bahawa dia akan terus bermain sehinggalah dia sendiri yang memutuskan untuk berhenti.
“Saya harap semua orang berasa bangga dengan dirinya kerana dia adalah pemain bola sepak terbaik yang pernah dilahirkan di muka bumi ini,” jelasnya.
Sebelum ini, Messi telah memenangi segalanya di peringkat kelab selain berjaya mengetuai negaranya menjulang trofi Piala Dunia 2022 serta kejuaraan Copa America pada 2021 dan 2024.
Dalam pada itu, sidang media berkenaan turut diselubungi suasana hiba apabila Scaloni dilihat gagal menahan sebak sehingga menitiskan air mata ketika mengulas mengenai masa depannya selaku pengendali pasukan.
“Saya akan berbincang dengan presiden Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA). Saya rasa adalah adil untuk saya mengambil sedikit masa demi diri sendiri untuk berfikir sedalam-dalamnya.
“Untuk meneruskan perjuangan ini, anda memerlukan banyak perkara. Menenangkan fikiran, membina semula kekuatan dan membentuk semula kumpulan seperti ini… ia adalah satu tugas yang sangat sukar,” katanya sebelum meminta maaf dan terus meninggalkan bilik sidang media. – REUTERS