AOS Malaysia evolusi festival kreatif generasi baharu

Foto RTM

SERDANG, 16 Julai – Tidak lagi sekadar tertumpu kepada dunia enjin dan jentera, Festival Art of Speed (AOS) Malaysia kini berkembang sebagai platform kreativiti yang menyatukan komuniti automotif, penggiat seni, pemuzik serta pemain industri kreatif tempatan dan antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Selepas 15 tahun, AOS berkembang menjadi festival gaya hidup kreatif yang menyesuaikan diri mengikut peredaran zaman.
  • Cabaran utama memastikan relevan bagi Gen Z dan Alpha tanpa menghilangkan identiti asal.
  • Pendekatan berteraskan komuniti termasuk SoundCircus, pengisian kreatif dan festival jadi destinasi keluarga.
  • Kerjasama MyCreative Ventures meluaskan skala, membawa tetamu antarabangsa dan membuka peluang ekonomi kepada penggiat kreatif tempatan.

Pengarah Festival Art of Speed Malaysia, Asep Ahmad Iskandar berkata, selepas 15 tahun mencipta nama dalam komuniti automotif tempatan, AOS Malaysia kini berevolusi menjadi sebuah festival gaya hidup kreatif yang lebih dekat dengan generasi baharu.

Menurutnya, cabaran utama penganjuran ketika ini adalah memastikan festival berkenaan terus kekal relevan dalam kalangan generasi muda khususnya Gen Z dan Alpha, tanpa menghilangkan identiti asalnya.

“Kita bukan berubah secara drastik, tetapi berkembang mengikut peredaran zaman. Setiap tahun kita cuba menyesuaikan diri dengan perubahan,” katanya.

Beliau berkata, edisi tahun ini menampilkan pendekatan lebih berteraskan komuniti menerusi penganjuran ‘SoundCircus Festival’, aktiviti luar serta pelbagai pengisian yang digerakkan oleh penggiat kreatif.

Katanya, jika dahulu AOS Malaysia lebih sinonim dengan kehadiran peminat motosikal dan automotif, kini festival itu turut menjadi destinasi keluarga serta ruang interaksi pelbagai lapisan masyarakat.

“Dahulu orang datang hanya dengan motosikal, tetapi kini mereka hadir bersama keluarga. Cabaran kami adalah memastikan generasi baharu terus mengenali, menghargai dan meneruskan budaya ini,” katanya.

Tambah beliau, pemilihan artis serta kandungan festival turut mengambil kira cita rasa generasi muda menerusi pandangan pasukan kreatif yang terdiri daripada golongan Gen Z.

Sementara itu, Asep berkata kerjasama sulung bersama MyCreative Ventures menjadi pemangkin penting dalam memperluaskan skala penganjuran AOS Malaysia tahun ini.

Menurutnya, sokongan itu membolehkan festival berkenaan menarik lebih ramai penggiat industri serta tetamu antarabangsa dari Jepun dan Indonesia, selain membuka peluang lebih besar kepada komuniti kreatif tempatan.

“Dengan sokongan MyCreative Ventures, kami dapat berkembang ke skala lebih besar, membawa artis luar negara dan pada masa sama membuka lebih banyak peluang kepada kumpulan muzik tempatan untuk membuat persembahan,” katanya.

Beliau menegaskan, Art of Speed bukan sekadar acara pameran automotif, sebaliknya platform yang menghimpunkan usahawan, penggiat seni, pemuzik, pembina motosikal kustom, vendor dan komuniti kreatif bagi menjana peluang ekonomi.

Katanya, penganjuran festival itu turut memberi limpahan manfaat kepada tenaga kerja belakang tabir, juruteknik, vendor serta pelbagai pihak yang terlibat dalam industri acara.

Art of Speed Malaysia 2026 dijadual berlangsung pada 1 dan 2 Ogos di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), menampilkan pameran automotif kustom, festival muzik SoundCircus, pameran antarabangsa serta penyertaan komuniti kreatif tempatan dan luar negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.