
SEREMBAN, 15 September – Menteri Besar tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
- Kedudukan dan proses berkaitan Yang di-Pertuan Besar ditetapkan oleh UUTKNS 1959 dan prinsip Raja Berperlembagaan.
- Proklamasi memerlukan sumber kuasa, syarat dan prosedur ditetapkan Undang-Undang Tubuh sebelum mempunyai kesan perlembagaan.
- Peranan Menteri Besar mesti dilaksanakan dalam batas dan menurut kehendak UUTKNS 1959, bukan keputusan sendiri.
- Pertikaian diselesaikan melalui proses perlembagaan dan kehakiman; keluhuran Perlembagaan, kepastian undang-undang dan institusi mesti dipelihara.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim dalam kenyataan memaklumkan, kerajaan negeri menerusi Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan hari ini menegaskan kedudukan serta proses berkaitan Yang Dipertuan Besar adalah perkara diperuntukkan secara khusus menerusi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) dan prinsip Raja Berperlembagaan bukan sebagai persoalan politik atau peribadi.
“Sesuatu Proklamasi tidak dengan sendirinya mewujudkan kuasa perlembagaan. Persoalan yang perlu ditentukan ialah apakah sumber kuasa bagi Proklamasi tersebut, apakah syarat dan prosedur yang ditetapkan Undang-Undang Tubuh, dan sama ada kesemua syarat tersebut telah dipatuhi.
“Dalam konteks Perkara 10 UUTKNS 1959, peruntukan perlembagaan menetapkan kerangka khusus berhubung tindakan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar, termasuk keperluan yang berkaitan dengan proses dan Proklamasi,” menurut kenyataan itu.
Penglibatan Menteri Besar Negeri Sembilan dalam proses yang ditetapkan Undang-Undang Tubuh tidak bermaksud Menteri Besar mempunyai kuasa untuk menentukan sendiri kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
“Sebaliknya, apabila Perlembagaan menetapkan peranan atau tindakan tertentu kepada Menteri Besar, peranan tersebut hendaklah dilaksanakan dalam batas dan menurut kehendak UUTKNS 1959.
“Isu ini bukan mengenai siapa mempunyai kuasa politik lebih besar. Dalam sistem Raja Berperlembagaan, kuasa mesti bersumberkan perlembagaan dan undang-undang.
“Institusi Diraja, Undang, Menteri Besar dan Kerajaan Negeri masing-masing mempunyai kedudukan serta fungsi yang ditentukan menerusi Undang-Undang Tubuh,” tambah kenyataan itu.
Antara perkara yang wajar ditentukan ialah isu sumber kuasa perlembagaan bagi proklamasi tersebut; isu syarat dan prosedur yang ditetapkan UUTKNS 1959; dan syarat serta prosedur tersebut telah dipatuhi sehingga proklamasi tersebut mempunyai kesan undang-undang seperti yang didakwa.
Datuk Ismail menegaskan, perkara besar itu perlu diselesaikan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman sekiranya timbul pertikaian undang-undang.
“Menteri Besar menghormati sepenuhnya Institusi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Apa yang perlu dipertahankan bukan kepentingan mana-mana individu, tetapi keluhuran perlembagaan, kepastian undang-undang dan kesinambungan institusi Raja Berperlembagaan. Undang-Undang Tubuh mesti menjadi asas. Proses perlembagaan mesti dihormati. Institusi mesti dipelihara,” menurut kenyataan itu.