Virgo Transport 8: Hari ketiga operasi feri karam, 129 masih hilang

(Kiri) Anggota penyelamat mengusung beg mayat yang mengandungi mangsa feri penumpang Virgo Transport 8. (Kanan) Rakaman menegak menunjukkan Virgo Transport 8 yang terbalik di Laut Jawa, antara Surabaya dan Banjarmasin pada Ahad/ AFP

BANJARMASIN, 15 September- Cuaca buruk menjejaskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa feri penumpang, Virgo Transport 8 di perairan Laut Jawa, Indonesia yang memasuki hari ketiga hari ini, dengan 129 orang masih hilang dan 108 lagi telah diselamatkan setakat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Enam disahkan maut; feri Virgo Transport 8 membawa 213 penumpang dan 30 kru.
  • 22 mangsa terselamat dibawa ke pelabuhan Banjarmasin selepas pemindahan ditangguhkan sehari.
  • Hampir 1,100 anggota penyelamat, termasuk tentera laut dan polis, gunakan lebih 12 kapal dan lima pesawat.

Agensi Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas) berkata enam orang disahkan maut dalam kejadian pada Ahad itu, yang membabitkan 213 penumpang dan 30 kru.

Sementara itu, seramai 22 mangsa yang terselamat dibawa ke sebuah pelabuhan di Banjarmasin pada Selasa selepas usaha menyelamat mereka terpaksa ditangguhkan sehari akibat cuaca buruk.

“Rancangan asal adalah untuk memindahkan mereka ke Pelabuhan Trisakti semalam, tetapi keadaan cuaca buruk menghalang usaha itu,” kata Ketua Agensi Pencarian dan Pertolongan tempatan, I Putu Sudayana kepada pemberita.

“Kita tidak mampu melawan alam. Ombak dan gelombang di kawasan itu sangat tinggi,” katanya.

Basarnas memaklumkan empat lagi mayat turut dibawa ke Banjarmasin menggunakan helikopter pada Selasa.

Dalam kejadian pada Ahad, feri berkenaan dilaporkan terputus hubungan dengan syarikat perkapalannya tidak lama selepas berlepas dari Surabaya menuju Banjarmasin.

Hampir 1,100 anggota penyelamat termasuk tentera laut dan polis terlibat dalam SAR yang turut menggunakan lebih 12 kapal dan lima pesawat. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.