
SINGAPURA, 15 September- Seorang wanita berusia 28 tahun dijatuhkan hukuman penjara yang pertama di Singapura kerana kesalahan menyimpan haiwan dalam kurungan untuk dijual di premis tidak berlesen di bawah Seksyen 48(1) Akta Haiwan dan Burung.
- Pasangan Ng dan Callurn ditahan 27 Dis 2023 atas pengimportan haram anak anjing dari Malaysia, dijual melalui Instagram dengan keuntungan kira-kira S$21,000.
- Kedua-duanya mengaku bersalah atas lima pertuduhan, dijatuhi hukuman penjara 19 minggu dan tiga hari serta denda S$5,000.
- Sundra Pandian didakwa menyimpan 13 haiwan seludup dari Thailand melalui Malaysia, dihukum penjara 24 minggu.
- NParks berkata haiwan disimpan dalam keadaan teruk, beberapa positif Canine Parvovirus, dan menegaskan pendirian sifar toleransi terhadap perdagangan haram.
Menurut Lembaga Taman Negara (NParks), Ng Siew Teng dan suaminya Callurn Lim, 34, ditahan pada 27 Disember 2023 kerana penglibatan mereka dalam mengimport anak anjing secara haram dari Malaysia untuk dijual di Singapura.
Siasatan pihak berkuasa mendapati pasangan itu telah menyimpan anak anjing import secara haram di kediaman mereka dan memperoleh keuntungan kira-kira S$21,000 (S$1=RM3.20) daripada menjual 21 anak anjing menerusi Instagram.
“Ng dan Lim kedua-duanya mengaku bersalah atas lima pertuduhan di bawah Akta Haiwan dan Burung, dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 19 minggu dan tiga hari serta denda S$5,000 pada 5 Ogos dan 11 September,” menurut NParks dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam kes lain, seorang lelaki berusia 33 tahun turut dijatuhkan hukuman atas kesalahan sama.
Sundra Pandian didapati menyimpan 13 haiwan seludup di kediamannya.
Haiwan itu diseludup dari Thailand melalui Malaysia oleh sindiket rentas sempadan untuk dijual di Singapura.
Dia mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan di bawah Akta Haiwan dan Burung dan dijatuhkan hukuman penjara 24 minggu pada 17 Ogos.
Tempoh itu termasuk dua minggu penjara atas kesalahan Seksyen 48(1).
Kes itu turut melibatkan Chow Chee Hoe, 25, yang telah membantu penjualan dengan mengumpul haiwan itu dari Pandian dan menjualnya kepada bakal pembeli di Singapura.
“Chow mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Peraturan Haiwan dan Burung (Pelesenan Premis untuk Kedai Haiwan Peliharaan dan Tujuan Lain) dan didenda S$4,000 pada 1 Sept,” menurut NParks.
Menurut agensi itu, dalam kedua-dua kes, haiwan yang diseludup disimpan dalam keadaan yang teruk dan mengalami kesakitan serta penderitaan.
Beberapa anjing turut positif Canine Parvovirus iaitu virus yang sangat berjangkit yang biasanya memberikan kesan kepada anak anjing yang tidak divaksin.
“Hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah menekankan pendirian sifar toleransi Singapura terhadap perdagangan haram dan import haiwan,” tegas NParks sambil menambah bahawa pesalah yang terlibat di setiap peringkat rantaian penyeludupan, tanpa mengira peranan mereka, akan dipertanggungjawabkan di bawah undang-undang. -BERNAMA