
KUALA LUMPUR, 15 September- Pengendali berpengalaman dari Jepun, Takayoshi Ishihara dilantik sebagai Ketua Jurulatih skuad wanita Bawah 17 Tahun (B-17) kebangsaan yang baharu.
- Jurulatih membawa pengalaman lebih dua dekad dalam pembangunan pemain, pembentukan pasukan dan kepimpinan di peringkat antarabangsa.
- Pada 2013 INAC Kobe Leonessa berjaya merangkul empat kejuaraan utama dalam satu musim termasuk Empress's Cup.
- Dua pakar dari Jepun dilantik sebagai penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan bagi menyokong skuad B-17.
- Kehadiran barisan kejurulatihan menzahirkan komitmen FAM dalam memartabatkan bola sepak wanita Malaysia.
Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), jurulatih berusia 49 tahun itu hadir dengan profil meyakinkan.
Beliau memiliki pengalaman lebih dua dekad dalam arena kejurulatihan antarabangsa, merangkumi aspek pembangunan pemain, pembentukan pasukan dan kepimpinan di Jepun, Amerika Syarikat serta Australia.
“Kemuncak karier Ishihara yang lebih mesra disapa sebagai ‘Taka’ itu terukir pada tahun 2013 apabila beliau mencipta sejarah gemilang bersama kelab terkemuka Jepun, INAC Kobe Leonessa.
“Bawah kendalian Ishihara kelab tersebut berjaya merangkul empat kejuaraan utama dalam satu musim (quadruple) iaitu Nadeshiko League, Nadeshiko League Cup, International Women’s Club Championship dan Empress’s Cup,” demikian menurut FAM menerusi satu kenyataan.
Badan induk bola sepak negara memaklumkan, bagi memastikan perancangan skuad muda negara berjalan lancar, Ishihara akan dibantu oleh dua lagi tenaga pakar dari Jepun iaitu Ito Mizuki sebagai penolong ketua jurulatih serta Mayu Hinada yang menggalas peranan selaku jurulatih kecergasan.
Mizuki, yang turut bertindak sebagai jurulatih penjaga gol, memiliki reputasi luas di pentas antarabangsa selepas pernah menabur bakti bersama beberapa kelab luar negara termasuk Sydney FC di Australia, Albirex Niigata di Singapura selain Osaka City FC di Jepun.
Kehadiran barisan kejurulatihan berwibawa dari negara ‘Matahari Terbit’ itu membuktikan komitmen jitu badan induk tersebut dalam memartabatkan bola sepak wanita di Malaysia.