
MELAKA, 15 September – Kerajaan Negeri Melaka kekal komited memperkasakan pembangunan sukan pencak silat menerusi sokongan dan bantuan kewangan meliputi aspek latihan, penyertaan pertandingan, kebajikan atlet serta penghargaan terhadap pencapaian pasukan berkenaan.
- Kerajaan negeri menyalurkan RM174,734 pada 2026 untuk pencak silat, merangkumi pembangunan sukan, logistik SUKMA, sumbangan dan insentif kemenangan.
- Pencak silat antara dua sukan keutamaan Negeri Melaka dalam Program Pembangunan Khas, meliputi latihan, kejohanan dan fasiliti.
- Kehadiran pegawai di venue bukan satu-satunya ukuran; sokongan merangkumi peruntukan, latihan, kebajikan atlet, penyertaan pertandingan dan penghargaan.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri V. P. Shanmugam berkata pada 2026 sebanyak RM174,734 disalurkan melalui bantuan Kerajaan Negeri Melaka serta sumbangan Jabatan Angkat, khusus kepada pasukan pencak silat.
“Jumlah ini merangkumi RM109,500 menerusi Program Pembangunan Sukan bagi tempoh Januari hingga Julai, RM21,734 bagi pengurusan dan logistik Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, RM13,000 sumbangan Bapa dan Jabatan Angkat serta RM30,500 bagi Insentif Kemenangan SUKMA XXII.
“Pencak silat adalah antara dua sukan yang diberi perhatian dan keutamaan menerusi Program Pembangunan Khas Negeri Melaka, selain sepak takraw, meliputi aspek latihan, kejohanan dan fasiliti latihan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shanmugam berkata dakwaan kerajaan negeri dan agensi itu tidak memberikan perhatian, sokongan serta bantuan kewangan kepada pembangunan sukan pencak silat adalah tidak tepat dan tidak berasas.
Beliau berkata kerajaan negeri sebelum ini memperuntukkan RM4.7 juta sebagai bajet khas bagi persiapan Kontinjen SUKMA Negeri Melaka bagi 2026, termasuk sokongan dan bantuan kepada persatuan serta atlet dalam menghadapi temasya berkenaan.
Sebanyak RM109,500, yang disalurkan menerusi Program Pembangunan Sukan meliputi elaun seorang ketua jurulatih sepenuh masa dan empat jurulatih separuh masa yang dipersetujui Persekutuan Silat Negeri Melaka (PESAKA Melaka).
“Elaun atlet, latihan, penyertaan dan penganjuran kejohanan serta peralatan latihan turut ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Melaka.
“Selain itu, Insentif Kemenangan SUKMA XXII berjumlah RM30,500 turut diberikan susulan pencapaian skuad pencak silat yang meraih empat pingat emas, tiga perak dan satu gangsa sekali gus menjadi penyumbang pingat kedua tertinggi kontinjen Melaka,” katanya.
Mengulas isu kehadiran Ketua Kontinjen (Chef de Mission)(CDM) di venue pertandingan, Shanmugam berkata CDM bertanggungjawab memantau keseluruhan kontinjen Melaka yang melibatkan 36 jenis sukan.
Beliau berkata pemantauan dan sokongan kepada atlet pencak silat turut dilaksanakan menerusi kehadiran CDM PARA SUKMA, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka serta pegawai-pegawai bertugas sepanjang kejohanan.
“Sokongan terhadap sukan pencak silat bukan sekadar berdasarkan kehadiran pegawai di venue, sebaliknya turut meliputi peruntukan pembangunan, latihan, kebajikan atlet, penyertaan pertandingan dan penghargaan terhadap pencapaian atlet.
“MSN Melaka kekal komited untuk terus bekerjasama dengan PESAKA Melaka dalam memperkukuh pembangunan sukan pencak silat serta memastikan sukan itu terus cemerlang pada peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.- BERNAMA