
KUALA LUMPUR, 14 Oktober – ScamSpeech, ScamEmotion dan ScamMove, masing-masing memperoleh anugerah emas dalam kategori Professional Inventors pada Innovation, Invention and Design Convention 2026.
- ScamSpeech, ScamEmotion dan ScamMove meraih anugerah emas kategori Professional Inventors pada Innovation, Invention and Design Convention 2026.
- Aplikasi membantu masyarakat mengenal pasti taktik penipuan siber berdasarkan analisis penggunaan bahasa.
- ScamSpeech nilai maksud tersurat dan tersirat, ScamEmotion kesan elemen emosi, ScamMove kenal pasti strategi pemujukan.
- ScamAlert mendapat perlindungan hak cipta; modul analisis bagi tiga aplikasi turut didaftarkan secara berasingan.
Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Faizul Abd Hamid berkata, tiga aplikasi berkenaan membantu masyarakat mengenal pasti taktik penipuan siber berdasarkan penggunaan bahasa.
“Ketiga-tiga aplikasi tersebut membolehkan pengguna menilai kandungan mesej dengan lebih menyeluruh sebelum memberikan maklumat peribadi, menekan pautan atau melakukan transaksi kewangan.
“ScamSpeech membantu pengguna mengenal pasti maksud tersurat dan tersirat dalam mesej, ScamEmotion meneliti unsur emosi, manakala ScamMove mengenal pasti strategi pemujukan,” katanya kepada RTM.
Kemenangan itu diterima bersempena dengan UiTM Academy of Language Studies Northern Region International Conference 2026 yang diadakan di Pulau Pinang.
Aplikasi berkenaan dibangunkan untuk memberikan perhatian khusus kepada peranan bahasa dalam penipuan siber.

Walaupun usaha pencegahan telah dilakukan agensi kerajaan, namun dengan inovasi menerusi pembangunan tiga aplikasi dari UPM itu dilihat sebagai usaha mengelakkan penipuan siber dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu ScamAlert telah mendapat perlindungan hak cipta, manakala modul analisis yang mendasari ScamSpeech, ScamEmotion dan ScamMove turut didaftarkan sebagai hak cipta secara berasingan.
Merangkap sebagai ketua penyelidik pembangunan aplikasi berkenaan, Dr. Muhammad Faizul turut dibantu pasukan penyelidikan tersebut turut dianggotai Dr. Nur Atirah Kamaruzaman, Dr. Nurul Atiqah Amran dan Dr. Nurin Erdiani Mhd Fadzil.