Sektor semikonduktor terus disokong, jana peluang kerjaya TVET

Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim

KUALA LUMPUR, 15 Oktober –Sokongan berterusan kerajaan terhadap sektor semikonduktor penting bagi meningkatkan pendapatan negara dalam jangka panjang, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji tinggi untuk rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembangunan sektor berteknologi tinggi diberi fokus dalam Belanjawan 2027, membuka laluan kerjaya lebih baik untuk graduan TVET.
  • Permintaan dalam teknologi dan kecerdasan buatan membuka peluang pendapatan lebih tinggi bagi graduan TVET dan mengangkat nilai kemahiran teknikal.
  • Strategi menangani kos sara hidup perlu fokus pada peningkatan pendapatan isi rumah melalui penciptaan pekerjaan berkualiti dan pembangunan sektor bernilai tinggi.

Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim berkata, pembangunan sektor berasaskan teknologi tinggi itu terus diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 kerana ia berpotensi menyediakan laluan kerjaya lebih baik, khususnya kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata permintaan terhadap tenaga kerja dalam sektor teknologi dan kecerdasan buatan (AI) turut membuka peluang kepada graduan TVET untuk memperoleh pendapatan lebih tinggi, sekali gus meningkatkan nilai kemahiran teknikal dalam pasaran pekerjaan.

“Saya rasa dari segi ekonomi, sektor-sektor yang kekal mendapat tumpuan adalah sektor yang menjana pendapatan lebih tinggi untuk masa hadapan, terutamanya dari segi sektor tumpuan seperti semikonduktor, masih mendapat bantuan dan sokongan untuk terus dibangunkan.

“Kita harus faham, sektor-sektor sebegini akan menyediakan peluang pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat kita, dan ini adalah antara cara untuk mengiktiraf pelajar-pelajar jurusan TVET,” katanya kepada pemberita, di sini.

Sementara itu, beliau berkata, pendekatan menangani kos sara hidup tidak seharusnya tertumpu kepada usaha mengawal harga barangan semata-mata, sebaliknya perlu disertai usaha meningkatkan pendapatan isi rumah melalui penciptaan pekerjaan berkualiti dan pembangunan sektor bernilai tinggi.

“Kita harus ingat, dalam Belanjawan kali ini, falsafahnya jelas, dalam menangani kos sara hidup itu, kerajaan sedang berusaha bukan sahaja mengawal kos barangan, tetapi juga meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.