GenAI berpotensi pengaruhi hampir 80 juta pekerja di ASEAN – ILO

Foto janaan AI

GENEVA, 8 Julai – Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggarkan hampir 80 juta pekerja di rantau ASEAN berpotensi terkesan dengan penggunaan kecerdasan buatan generatif (GenAI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Setakat ini tiada bukti kehilangan pekerjaan secara besar-besaran akibat perkembangan GenAI.
  • Pendedahan tidak sekata: 3.3% pekerjaan berisiko tinggi, sekitar 67% masih tidak terdedah kepada GenAI.
  • ILO menggesa tadbir urus AI berasaskan manusia, peningkatan latihan semula, sokongan kepada PMKS dan kerjasama serantau.

Bagaimanapun, pertubuhan itu menegaskan setakat ini tiada bukti berlaku kehilangan pekerjaan secara besar-besaran akibat perkembangan teknologi berkenaan.

Menerusi laporan bertajuk Generative AI and Labour Markets in ASEAN: Significant Exposure, Limited Disruption, Uneven Preparedness, ILO menganggarkan 22.9 peratus daripada jumlah pekerjaan di ASEAN, atau hampir 80 juta pekerja, mempunyai sekurang-kurangnya sedikit pendedahan kepada GenAI.

Namun, hanya 3.3 peratus tenaga kerja, bersamaan kira-kira 11.7 juta pekerja, berada dalam kategori pekerjaan yang mempunyai tahap pendedahan paling tinggi kepada teknologi itu.

Pada masa sama, sekitar 67 peratus pekerjaan di rantau ini masih dikenal pasti tidak terdedah kepada penggunaan GenAI.

Daripada sembilan negara ASEAN yang mempunyai data, Singapura merekodkan kadar pendedahan tertinggi, iaitu 42.2 peratus daripada keseluruhan pekerjaan.

Ia diikuti Filipina sebanyak 28.1 peratus, Indonesia (21.7 peratus), Vietnam (20.8 peratus) dan Thailand (20.6 peratus).

Menurut laporan itu, jumlah pekerjaan yang mempunyai tahap pendedahan tinggi kepada GenAI terus meningkat di seluruh ASEAN, namun impaknya terhadap pasaran buruh masih terkawal kerana penggunaan teknologi berkenaan masih di peringkat awal dan belum meluas.

Penggunaannya ketika ini lebih tertumpu kepada sektor berintensifkan teknologi, manakala aplikasi dalam tugas pejabat dan pentadbiran masih agak terhad walaupun bidang itu dikenal pasti mempunyai tahap pendedahan yang tinggi.

Laporan itu turut mendapati pekerja wanita mempunyai risiko pendedahan lebih tinggi berbanding lelaki kerana lebih ramai tertumpu dalam bidang perkeranian, pentadbiran dan profesional.

Selain itu, kajian berkenaan menunjukkan tahap kesiapsiagaan negara ASEAN masih tidak sekata, dengan Singapura dilihat mendahului rantau ini menerusi infrastruktur digital yang kukuh, tenaga kerja berkemahiran tinggi serta pelaksanaan strategi AI yang menyeluruh.

Sehubungan itu, ILO menggesa negara anggota memperkukuh tadbir urus AI yang berteraskan manusia, memperluaskan program peningkatan dan latihan semula kemahiran khususnya kepada wanita serta belia, membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mempercepat penggunaan AI, di samping meningkatkan kerjasama serantau dalam pembangunan modal insan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.