Gagal kuasai bahasa Perancis, Air Canada lantik CEO baharu

Anko Van der Werff/ Foto AIR CANADA

MONTREAL, 8 Julai – Syarikat penerbangan nasional Kanada, Air Canada mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu bagi menggantikan Michael Rousseau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rousseau mengumumkan persaraan ekoran kontroversi kegagalan menyampaikan ucapan takziah dalam dwi-bahasa.
  • Anko Van der Werff, CEO Scandinavian Airlines, dilantik mulai hujung Januari 2027; juga akan menjadi Presiden dan anggota Lembaga Pengarah.
  • Pemilihan menekankan kemampuan berkomunikasi dalam bahasa Perancis memandangkan Kanada mempunyai dua bahasa rasmi, menjadikan isu bahasa serius.

Pertukaran berkenaan menyusul selepas Rousseau mengumumkan persaraannya ekoran kontroversi kegagalan beliau menyampaikan ucapan takziah dalam dwi-bahasa (Inggeris dan Perancis) susulan satu nahas lapangan terbang baru-baru ini.

Air Canada mengesahkan Anko Van der Werff, yang kini berkhidmat sebagai CEO di syarikat penerbangan Scandinavian Airlines bakal menerajui syarikat bermula hujung Januari 2027.

“Proses pemilihan tersebut mengambil kira beberapa kriteria prestasi utama termasuklah kemampuan untuk berkomunikasi dalam bahasa Perancis,” jelas kenyataan rasmi Air Canada.

Van der Werff, yang juga akan memegang jawatan Presiden dan menganggotai Lembaga Pengarah Air Canada menyatakan bahawa beliau sangat peka terhadap kepentingan memberikan perkhidmatan kepada rakyat Kanada dalam kedua-dua bahasa rasmi negara.

Kontroversi tercetus apabila Rousseau hanya menggunakan bahasa Inggeris dalam satu video bagi menzahirkan takziah susulan insiden rempuhan maut melibatkan sebuah jet Air Canada dan sebuah trak bomba di Lapangan Terbang LaGuardia, New York pada 22 Jun lalu.

Isu ini dipandang serius memandangkan Kanada menetapkan bahasa Inggeris dan bahasa Perancis sebagai dua bahasa rasmi negara.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.