KKM sasar pendigitalan penuh klinik kerajaan menjelang 2028

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan pelaksanaan penuh sistem pendigitalan di semua klinik kesihatan dan klinik pergigian kerajaan menjelang 2028.

RINGKASAN BERITA AI
  • 510 daripada 2,917 fasiliti penjagaan kesihatan primer sudah menggunakan sistem pendigitalan sepenuhnya.
  • 320 daripada 728 klinik pergigian kerajaan kini beroperasi menggunakan sistem digital sepenuhnya.
  • 22 daripada 151 hospital kerajaan telah menggunakan sistem pendigitalan sepenuhnya. Semua hospital dijangka beralih sepenuhnya pada 2030.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata setakat semalam, sebanyak 510 daripada 2,917 fasiliti penjagaan kesihatan primer yang merangkumi klinik kesihatan, klinik ibu dan anak, klinik desa serta klinik komuniti telah menggunakan sistem pendigitalan sepenuhnya.

Katanya, bagi perkhidmatan pergigian pula, sebanyak 320 daripada 728 klinik pergigian kerajaan kini beroperasi menggunakan sistem digital sepenuhnya, yang mana turut disasarkan selesai pada 2028.

Sementara itu, semua hospital kerajaan pula dijangka beralih kepada sistem digital sepenuhnya pada 2030.

Tambahnya, bagi sektor hospital, sebanyak 22 daripada 151 hospital kerajaan telah menggunakan sistem pendigitalan sepenuhnya setakat ini.

“Daripada segi sistem ini, kita mengambil masa untuk menaik taraf penggunaannya kerana kekangan yang dihadapi adalah bagi memastikan semua maklumat pesakit dapat disertakan.

“Misalnya, jika seseorang pesakit mendapatkan rawatan bagi penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, rekod terdahulunya, termasuk rekod pertemuan dengan doktor, ulasan doktor serta keputusan ujian darah yang mengesahkan pesakit menghidap penyakit tidak berjangkit, perlu direkodkan dalam sistem tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu di Dewan Rakyat di sini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.