
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang melibatkan peruntukan hampir RM500 juta dijangka dapat dilaksanakan sebaik isu berkaitan tanah dan keperluan tapak diselesaikan.
- Kerajaan telah menyediakan peruntukan bagi projek pembesaran KKIA.
- Pelaksanaan bergantung kepada penyelesaian isu pengambilan tanah dan keperluan kawasan sebelum kerja pembinaan dimulakan.
- Belanjawan 2026 memperuntukkan RM2.3 bilion untuk pembangunan lapangan terbang, projek dijangka siap menjelang 2028.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kerajaan telah menyediakan peruntukan bagi projek pembesaran lapangan tersebut.
“Namun pelaksanaannya ketika ini masih bergantung kepada penyelesaian beberapa perkara berkaitan pengambilan tanah dan keperluan kawasan untuk pembesaran di sekitar landasan sedia ada.
“Kementerian Pengangkutan sedang mengadakan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi memuktamadkan isu berkenaan sebelum kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya di Dewan Rakyat di sini.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan projek pembesaran Lapangan Terbang Tawau kini sedang dilaksanakan mengikut perancangan.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 pada Oktober lalu, mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion bagi pembangunan lapangan terbang di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Miri, dengan projek-projek berkenaan dijangka siap menjelang tahun 2028.