
ALOR SETAR, 8 Julai – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail mendahului senarai penerima pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Kedah ke-84.
- Tan Sri Mohd Khalid Ismail menerima Darjah Dato' Seri Setia Pahlawan (S.S.P.K) dan gelaran Dato' Seri Pahlawan.
- Anugerah disampaikan oleh Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, di Istana Anak Bukit.
- Seramai 31 penerima dianugerahkan Darjah Ahli Mahkota Kedah (A.M.K), termasuk Ir. Ahmad Solihin Budarto dan Mohd Ridzzuan Mohd Zain.
- Istiadat turut dihadiri ahli-ahli kerabat diraja: Sultanah, Raja Muda, Raja Puan Muda, Tunku Mahkota dan Tunku Puan Mahkota.
Tan Sri Mohd Khalid menerima anugerah Darjah Dato’ Seri Setia Pahlawan Yang Amat Dihormati (S.S.P.K), yang membawa gelaran Dato’ Seri Pahlawan.
Anugerah disampaikan oleh Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni almarhum Sultan Badlishah pada istiadat yang berlangsung di Istana Anak Bukit, di sini, hari ini.
Pada istiadat sama, seramai 31 individu turut menerima Darjah Ahli Mahkota Kedah (A.M.K) antaranya Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah, Ir. Ahmad Solihin Budarto, dan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain.
Turut berangkat pada istiadat tersebut ialah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin; Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin; dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.