
KUALA LUMPUR, 8 JULAI- Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi membuka semula perkhidmatan penerbangan komersial ke Lapangan Terbang Pulau Pangkor.
- Penilaian pembukaan semula penerbangan bergantung kepada pertimbangan komersial dan model perniagaan syarikat penerbangan.
- Kerajaan mengalu-alukan syarikat penerbangan berminat; ketersambungan udara penting untuk pembangunan sektor pelancongan.
- Lapangan Terbang Pulau Pangkor kekal beroperasi untuk penerbangan persendirian, ketenteraan, pendaratan kecemasan dan Perkhidmatan Doktor Udara.
- MAHB menempatkan kakitangan, mengurus operasi dan menerima permohonan bagi penggunaan kemudahan untuk pelancongan atau kegunaan lain.
Ia susulan penilaian tersebut lazimnya dilaksana oleh syarikat penerbangan berdasarkan pertimbangan komersial dan model perniagaan masing-masing.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, kerajaan sentiasa mengalu-alukan mana-mana syarikat penerbangan yang berminat memulakan operasi ke Pulau Pangkor memandangkan ketersambungan udara merupakan antara pemangkin penting kepada pembangunan sektor pelancongan.
“Sebarang keputusan mengenai masa depan Lapangan Terbang Pulau Pangkor akan mengambil kira potensi pertumbuhan permintaan terhadap perkhidmatan udara, selain corak perjalanan semasa yang masih banyak bergantung kepada pengangkutan laut, khususnya selepas Pulau Pangkor diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai.
“Perkhidmatan penerbangan berjadual ke Pulau Pangkor yang sebelum ini dikendalikan Berjaya Air menggunakan pesawat Dash 7 dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang telah dihentikan pada Mei 2022,” katanya di Dewan Rakyat.
Mengulas mengenai cadangan memanfaatkan lapangan terbang itu bagi tujuan lain, beliau berkata Lapangan Terbang Pulau Pangkor tidak ditutup dan masih beroperasi bagi beberapa kegunaan.
Pada masa sama, lapangan terbang berkenaan juga digunakan untuk penerbangan pesawat persendirian, pesawat dan helikopter tentera, pendaratan kecemasan serta perkhidmatan doktor udara (Flying Doctor Service).
Beliau berkata, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) masih menempatkan kakitangan di lapangan terbang itu bagi mengurus operasi serta menjaga aset sedia ada.
Jelas Datuk Hasbi, sekiranya terdapat keperluan daripada mana-mana pihak untuk memanfaatkan kemudahan tersebut bagi aktiviti pelancongan atau kegunaan lain, permohonan boleh dikemukakan kepada MAHB sebagai pengendali lapangan terbang.