Pelaksanaan CCMS kurangkan tempoh menunggu pesakit

Foto fail/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Pelaksanaan Sistem Pengurusan Digital Berasaskan Awan (CCMS) di Klinik Kesihatan berjaya meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan, termasuk mengurangkan tempoh menunggu pesakit di klinik kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • 81 peratus pesakit dapat berjumpa pegawai perubatan dalam 60 minit; baki 19 peratus dalam 60 hingga 90 minit.
  • CCMS diintegrasikan dengan MySejahtera, menyatukan rekod vaksinasi, preskripsi, pergigian, saringan kesihatan dan ringkasan lawatan klinik.
  • Pelaksanaan diperluas ke klinik pakar; KKM akan gantikan sistem sedia ada dengan THIS, mengintegrasi makmal, pengimejan, tabung darah dan farmasi.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, data pemantauan terkini menunjukkan 81 peratus pesakit kini dapat berjumpa pegawai perubatan dalam tempoh 60 minit.

Manakala baki 19 peratus menerima rawatan dalam tempoh 60 hingga 90 minit, bergantung kepada tahap kes dan beban kerja klinik.

“KKM sedang mengintegrasikan sistem CCMS dengan aplikasi MySejahtera. Sehingga kini, aplikasi ini telah berjaya mengintegrasikan rekod kesihatan jutaan rakyat Malaysia merangkumi 30 juta individu dengan rekod vaksinasi, 12 juta individu dengan rekod preskripsi ubat.

“… lima juta individu dengan rekod pergigian, lima juta individu dengan rekod saringan kesihatan serta satu juta individu dengan ringkasan lawatan klinik”, katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.

Tambahnya, sehingga kini, sebanyak 29 juta transaksi tempahan janji temu telah direkodkan menerusi aplikasi MySejahtera bagi 18 jenis perkhidmatan kesihatan di Klinik Kesihatan dan Klinik Pergigian.

Katanya, kemudahan itu akan diperluas ke klinik pakar hospital dalam masa terdekat, selain melibatkan pelbagai lagi perkhidmatan pesakit luar dan program kesihatan.

Beliau turut memberitahu, KKM juga akan menggantikan sistem sedia ada secara berperingkat dengan Sistem Maklumat Hospital Menyeluruh (THIS) yang mana pelaksanaan fasa pertama akan melibatkan 20 hospital dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Ini termasuk pengintegrasian sistem makmal, pengimejan, tabung darah dan farmasi bagi meningkatkan kecekapan operasi hospital.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.