APEL: Komponen utama jayakan dasar Pembelajaran Sepanjang Hayat

Gambar janaan AI/Penulis

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • APEL memberi pengiktirafan pengalaman kerja untuk akses ke pengajian tinggi, menggantikan syarat masuk dan memudahkan pindahan kredit.
  • PSH memacu pembelajaran sepanjang hayat untuk membina modal insan berilmu, mahir dan berdaya saing dalam era ekonomi digital.
  • Perlu pemerkasaan promosi APEL dan penglibatan PPA bagi meningkatkan kefahaman, akses dan pengambilan golongan dewasa ke IPT.

Malaysia telah mencapai pelbagai kemajuan mengagumkan dalam pelbagai bidang termasuk sektor pendidikan tinggi yang menjadi salah satu asas kepada pembentukan modal insan negara ini.

Namun, satu perkara yang tidak dinafikan adalah wujudnya segelintir rakyat yang ketinggalan dari aspek akses kepada pendidikan tinggi kerana tidak semua individu berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat tinggi sejurus menamatkan persekolahan.

Antaranya, faktor tuntutan hidup dan tanggungjawab kepada keluarga mendorong mereka menyertai dunia pekerjaan lebih awal berbanding rakan-rakan lain yang menyebabkan ramai tenaga kerja berpengalaman luas dalam kerjaya tetapi tidak mempunyai kelayakan formal bagi memohon tempat di universiti.

Bagaimanapun, masih ramai tidak mengetahui bahawa peluang menyambung pengajian tinggi belum terhenti walaupun mereka telah lama meninggalkan dunia persekolahan dengan adanya pelbagai program untuk pemerkasaan dasar Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

PSH Pemangkin Bina Modal Insan Berilmu, Mahir dan Tinggi Daya Saing

Bagi sesebuah negara maju dan berdaya saing, kualiti sumber manusia adalah penanda aras yang sentiasa diberi keutamaan bagi membina modal insan diperlukan negara dan industri.

PSH merujuk kepada proses pembelajaran yang berlaku sepanjang hayat seseorang tanpa mengira usia atau peringkat pendidikan.

Ini termasuklah pembelajaran formal di institusi pengajian tinggi, pembelajaran tidak formal melalui kursus-kursus dan latihan serta pembelajaran informal seperti pembelajaran sendiri melalui pengalaman hidup.

PSH memberi penekanan kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat bagi membolehkan individu terus berkembang dan menyesuaikan diri dengan cabaran-cabaran baharu dalam kehidupan.

Dalam konteks Malaysia, dasar PSH telah diperkenal sejak tahun 1990-an bagi memperkasa individu dewasa bekerja mengembangkan potensi diri secara peribadi dan profesional yang seterusnya membolehkan mereka meningkatkan kualiti hidup dan sosioekonomi.

Hari ini, PSH diangkat sebagai komponen rasmi dalam sistem pendidikan tinggi negara apabila disenarai sebagai salah satu daripada 10 lonjakan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (2026-2035) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) (2015-2025).

Sehubungan itu, usaha mengarusperdanakan dasar Pembelajaran Sepanjang Hayat kini dilihat sebagai pemacu utama dalam membentuk masyarakat serta modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing tinggi.

Umumnya, PSH juga merupakan satu proses pendemokrasian pendidikan yang merangkumi pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan kemajuan diri seseorang individu secara berterusan tanpa mengira batasan umur.

Pelan Induk Pembudayaan PSH 2011–2020 telah menyediakan kerangka strategik bagi memastikan akses pendidikan diperluas kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur atau latar belakang.

Ini menunjukkan komitmen kerajaan menjadikan PSH sebagai saluran pemerkasaan modal insan dan bukan hanya pelengkap kepada sistem pendidikan formal.

Pendekatan ini menekankan bahawa proses pembelajaran tidak terhenti selepas tamat persekolahan tetapi berterusan sepanjang hayat merangkumi aspek formal, bukan formal dan informal.

Dalam era ekonomi digital dan ketidaktentuan global, keupayaan rakyat untuk terus belajar dan menyesuaikan diri menjadi faktor kritikal kepada daya tahan negara dari sudut pemerkasaan modal insan.

Di pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pelbagai program disediakan untuk rakyat memanfaatkan pengalaman menerusi dasar pembelajaran sepanjang hayat untuk meningkatkan kemahiran dan memperkasa modal insan negara.

Manfaat Program APEL Jayakan Dasar PSH

Salah satu program disediakan bagi tujuan Pembelajaran Sepanjang Hayat adalah Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), yang merupakan konsep penting dalam konteks PSH di Malaysia.

Dalam usaha menjadikan PSH sebagai salah satu cara hidup warga Malaysia, kualiti program-program sedia ada sentiasa dipertingkat dalam usaha memastikan program tersebut, sama ada formal atau tidak, membantu rakyat membangunkan diri secara profesional dan peribadi.

Menerusi APEL, setiap individu mendapat akses tanpa mengira tahap pendapatan ataupun latar belakang dan ia dilaksana melalui satu proses sistematik merangkumi identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu.

APEL memberi peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai satu proses pembelajaran sepanjang hayat.

Secara umumnya, penilaian APEL melibatkan pengiktirafan terhadap ilmu yang diperoleh seseorang itu menerusi pendidikan formal mahupun menerusi pengalamannya terdahulu dalam bidang pekerjaan.

Buat masa ini, program APEL di Malaysia hanya bertujuan mendapatkan tempat bagi melanjutkan pengajian di IPT berasaskan empat peringkat kemasukan iaitu ke program Sijil (APEL T-3), program Diploma (APEL T-4), program Ijazah Sarjana Muda (APEL T-6) dan program Ijazah Sarjana (APEL T-7).

Individu yang beminat untuk mengakreditasikan pengalaman boleh menghubungi mana-mana Pusat Penilaian APEL (PPA) yang dilantik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pengetahuan, kemahiran dan kompetensi individu yang memenuhi syarat akreditasi bukan sahaja layak untuk diiktiraf bagi mengantikan syarat masuk ke IPT (APEL.A), tetapi juga boleh dipertimbangkan sebagai pindahan kredit kursus pengajian (APEL.C).

Individu itu juga akan diberikan anugerah kelayakan (APEL.Q) mengikut tahap pengajian bersesuaian dengan pengalaman calon.

Pemohon boleh memilih mana-mana PPA untuk menjalani penilaian APEL.A. Namun semasa membuat pemilihan, pemohon perlu membuat pertimbangan sama ada untuk memilih PPA Terbuka atau PPA Dalaman.

Pemilihan PPA adalah penting kerana ia akan menentukan pilihan Pusat Pengajian Tinggi (PPT) yang akan dibuat selepas itu.

Ini bermakna, pemohon perlu membuat persediaan seperti menentukan bidang pengajian dan PPT yang bakal dimohon untuk melanjutkan pengajian sebelum mendaftar di mana-mana PPA bagi menduduki APEL.A.

Setakat ini terdapat 21 PPA Terbuka dan 19 PPA Dalaman di seluruh negara yang telah dilantik oleh MQA. Pemohon boleh melayari laman web PPT bagi menyemak senarai program yang menerima kemasukan pelajar melalui APEL.A sebelum mendaftar sebagai calon APEL.A di laman web MQA.

Pemegang sijil APEL.A boleh melanjutkan pengajian secara sepenuh atau separuh masa.

Gandingan PSH dan APEL menunjukkan kerajaan mengiktiraf pendidikan sepanjang hayat dan komited dalam memastikan pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama untuk semua.

Cabaran Mengarusperdanakan PSH

Pelaksanaan PSH mampu memberi peluang kedua kepada golongan dewasa dan pekerja untuk meningkatkan kelayakan serta kemahiran, sekali gus memperkukuh kebolehpasaran tenaga kerja negara.

Dalam konteks ekonomi baharu yang dipacu teknologi dan automasi, keperluan untuk memperkukuh PSH menjadi semakin penting. Perubahan pesat dalam pasaran pekerjaan menuntut tenaga kerja fleksibel dan sentiasa meningkatkan kemahiran.

Tanpa budaya pembelajaran berterusan, jurang kemahiran dijangka semakin melebar dan menjejaskan daya saing negara di peringkat global.

Statistik dilaporkan oleh MQA menunjukkan jumlah permohonan APEL.A meningkat dengan signifikan sejak mula dilaksanakan pada tahun 2015. Bermula dengan hanya 96 permohonan pada tahun 2015, jumlah permohonan meningkat dengan drastik kepada 1,947 pada tahun 2016.

Tahun-tahun di antara 2017-2019 menunjukkan pertumbuhan yang pesat dalam jumlah permohonan APEL.A. Jumlah permohonan yang direkodkan adalah di antara 3,903 (2017) hingga 5,104 (2019).

Walaupun terdapat sedikit penurunan pada tahun 2020 (4,246) yang mungkin disebabkan oleh ancaman COVID-19, jumlah permohonan melonjak kembali pada tahun berikutnya.

Tahun 2023 merekodkan jumlah permohonan yang tertinggi iaitu sebanyak 9,402 permohonan. Peningkatan yang signifikan dalam jumlah permohonan APEL.A menunjukkan penerimaan positif rakyat terhadap APEL.

Namun, jumlah permohonan ini secara relatifnya masih kecil berbanding dengan jumlah guna tenaga negara yang majoritinya mempunyai kelulusan di peringkat menengah.

Keadaan ini juga menunjukkan bahawa penghayatan budaya “belajar sepanjang hayat” perlu dipertingkat terutama kefahaman terhadap konsep akreditasi pengalaman pembelajaran terdahulu dalam kalangan masyarakat.

Justeru, usaha mempromosi PSH perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa agar mesej dan falsafah PSH dapat dihayati dan difahami dengan baik oleh rakyat.

PSH bukan hanya menggalakkan rakyat memperoleh kelulusan pendidikan tinggi tetapi turut membantu individu membangunkan potensi diri dan kerjaya sekaligus dapat membantu negara memenuhi keperluan industri terhadap tenaga kerja profesional dan berkemahiran.

APEL juga perlu dipromosikan secara lebih agresif dan menyeluruh. APEL adalah jambatan kepada PSH yang menawarkan peluang kepada individu yang komited untuk meningkatkan kemahiran personal dan profesional dan berimpian untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Oleh itu, maklumat tentang konsep dan proses permohonan serta peluang untuk melanjutkan pengajian menerusi saluran APEL perlu disebarkan dengan lebih meluas. PPA perlu bergerak dengan lebih aktif membawa jenama APEL kepada kelompok guna tenaga di Malaysia.

APEL bukan sekadar memberikan kelayakan masuk ke PPT. Namun, APEL adalah lambang sistem pendidikan yang inklusif dan fleksibel yang menyokong mobiliti sosial dengan memberi peluang kedua khususnya kepada individu dewasa untuk melanjutkan pelajaran.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Prof. Madya Dr. Nor Azizah Zainal Abidin
Pengurus Bahagian Pengurusan APEL
Pusat Kecemerlangan Akademik dan Perancangan Dasar
Universiti Utara Malaysia
E-mel: norazizah@uum.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.