Malaysia berpotensi besar sebagai hab acara perniagaan global

Foto BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Lokasi strategik, infrastruktur bertaraf dunia dan sokongan kerajaan meletakkan Malaysia sebagai hab MICE berdaya saing di rantau Asia Pasifik.
  • Transformasi digital dalam acara: AI, analitik, aplikasi mudah alih, VR/AR dan platform hibrid diperlukan untuk pengalaman peserta yang cekap dan selamat.
  • Amalan kelestarian dan reka bentuk sejagat inklusif meningkatkan daya saing; pensijilan venue inklusif dan latihan modal insan perlu diperkasakan.

Dalam landskap ekonomi global yang semakin kompetitif, industri acara perniagaan atau Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions (MICE) muncul sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Malaysia mempunyai semua ramuan yang diperlukan untuk muncul sebagai hab acara perniagaan global di rantau Asia Pasifik.

Kedudukan geografi yang strategik, infrastruktur bertaraf dunia, kestabilan politik yang semakin kukuh serta sokongan kerajaan terhadap sektor pelancongan dan ekonomi digital meletakkan negara pada landasan terbaik untuk merealisasikan aspirasi tersebut.

Tidak seperti pelancongan konvensional, industri MICE memberikan impak ekonomi yang lebih tinggi. Seorang delegasi persidangan antarabangsa lazimnya membelanjakan beberapa kali ganda lebih banyak berbanding pelancong biasa.

Ia kerana industri itu akan melibatkan penginapan bertaraf tinggi, penggunaan perkhidmatan profesional, pengangkutan, makanan dan minuman, lawatan teknikal serta aktiviti sosial.

Kesan limpahan ekonomi ini memberi manfaat kepada pelbagai sektor termasuk perhotelan, pengangkutan, peruncitan, teknologi, makanan dan minuman serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Justeru, pembangunan industri MICE bukan sahaja menyumbang kepada sektor pelancongan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh.Malaysia sebenarnya telah lama dikenali sebagai destinasi pilihan penganjuran persidangan dan pameran antarabangsa.

Kemudahan seperti Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Setia SPICE Convention Centre di Pulau Pinang serta Borneo Convention Centre Kuching merupakan antara fasiliti bertaraf antarabangsa yang mampu menganjurkan acara berskala besar.

Kemudahan ini disokong oleh rangkaian hotel bertaraf lima bintang, sistem pengangkutan moden serta capaian internet berkelajuan tinggi yang menjadi keperluan utama industri MICE masa kini.

Tambahan pula, kepelbagaian budaya Malaysia merupakan kelebihan kompetitif yang sukar ditandingi. Delegasi antarabangsa bukan sahaja menghadiri persidangan, malah berpeluang menikmati pengalaman budaya Melayu, Cina, India dan etnik Sabah serta Sarawak dalam satu destinasi.

Keunikan ini menjadikan Malaysia bukan sekadar lokasi mesyuarat, tetapi destinasi yang menawarkan pengalaman pelancongan, gastronomi dan warisan budaya yang lengkap.

Momentum Malaysia sebagai hab acara perniagaan semakin menyerlah apabila negara menjadi tuan rumah kepada pelbagai mesyuarat peringkat tinggi, forum ekonomi, persidangan antarabangsa dan pameran perdagangan sempena Kepengerusian ASEAN.

Keupayaan menganjurkan acara bertaraf dunia secara profesional meningkatkan keyakinan organisasi antarabangsa untuk memilih Malaysia sebagai destinasi persidangan dan pameran pada masa hadapan. Momentum ini wajar dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengukuhkan jenama Malaysia sebagai destinasi MICE utama di rantau Asia.

Namun begitu, untuk menjadi hab MICE bertaraf dunia, Malaysia perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar menyediakan kemudahan fizikal. Industri kini sedang mengalami transformasi digital yang pesat.

Penganjuran acara memerlukan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data, aplikasi mudah alih, sistem pendaftaran pintar, pembayaran tanpa tunai, realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR) serta platform hibrid yang menggabungkan penyertaan fizikal dan maya.

Penggunaan teknologi bukan sahaja meningkatkan pengalaman peserta, malah membantu penganjur mengurus acara dengan lebih cekap, selamat dan mampan.Pada masa yang sama, elemen kelestarian perlu menjadi agenda utama.

Penganjuran acara hijau yang mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, menggalakkan pengasingan sisa, penggunaan tenaga yang cekap serta pengurangan pelepasan karbon kini menjadi keutamaan organisasi antarabangsa.

Malaysia perlu memperkukuhkan amalan ini agar kekal relevan dengan kehendak pasaran global yang semakin menitikberatkan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG).

Selain kelestarian, aspek keterangkuman perlu diberi perhatian yang lebih serius. Destinasi acara yang benar-benar bertaraf antarabangsa mestilah mesra kepada semua golongan termasuk warga emas, keluarga, individu kurang upaya (OKU) serta peserta daripada pelbagai latar belakang budaya.

Pendekatan Universal Design perlu diterapkan sejak peringkat perancangan agar setiap peserta dapat menikmati pengalaman acara secara selamat, selesa dan saksama. Keterangkuman bukan lagi satu nilai tambah, sebaliknya menjadi salah satu indikator penting dalam pemilihan destinasi acara oleh organisasi antarabangsa yang semakin menitikberatkan agenda sosial dan tadbir urus.

Malah, Malaysia mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab penyedia venue (venue provider) mesra OKU yang pertama di rantau ASEAN.

Ketika kebanyakan pusat konvensyen dan hotel bersaing dari segi kapasiti dewan, teknologi audiovisual dan lokasi strategik, Malaysia boleh membezakan dirinya melalui pembangunan venue yang benar-benar memenuhi prinsip reka bentuk sejagat (Universal Design).

Penyediaan laluan bebas halangan, tempat letak kenderaan khas, tandas mesra OKU, laluan sentuhan (tactile paving), lif yang mudah diakses, sistem pandu arah yang inklusif, teknologi bantuan pendengaran, kemudahan untuk peserta berkeperluan sensori serta latihan kakitangan dalam pengendalian tetamu OKU mampu meningkatkan daya saing venue tempatan di mata dunia.

Lebih jauh daripada itu, Malaysia boleh menerajui penubuhan Pensijilan Venue MICE Inklusif Malaysia yang menilai tahap aksesibiliti hotel, pusat konvensyen dan pusat pameran berdasarkan standard antarabangsa.

Pensijilan ini boleh meliputi aspek kemudahan fizikal, komunikasi inklusif, teknologi bantuan, prosedur keselamatan dan pengalaman pengguna.

Langkah ini bukan sahaja memperkukuh reputasi negara sebagai destinasi acara yang mesra semua, malah membuka peluang kepada Malaysia menjadi pusat rujukan serantau dalam pembangunan venue inklusif.

Dalam era ESG dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), aksesibiliti bukan lagi sekadar memenuhi tuntutan sosial, malah menjadi strategi ekonomi yang mampu menarik lebih banyak persidangan antarabangsa.

Ia khususnya daripada organisasi kesihatan, pendidikan, kerajaan, badan bukan kerajaan serta persatuan profesional yang mengutamakan prinsip keterangkuman.

Pembangunan modal insan juga merupakan faktor kritikal. Industri MICE memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran profesional dalam pengurusan acara, teknologi digital, pemasaran antarabangsa, pengurusan risiko, komunikasi pelbagai budaya serta penguasaan bahasa asing.

Kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pemain industri perlu diperkasakan bagi melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri global.

Dalam konteks ini, institusi pendidikan tinggi juga boleh memainkan peranan penting dengan memperkenalkan kursus berkaitan pengurusan acara inklusif, reka bentuk sejagat serta pensijilan profesional dalam bidang MICE.

Dalam masa yang sama, promosi Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan perlu diperkasakan melalui kerjasama strategik antara kerajaan, Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), persatuan industri, syarikat penerbangan, hotel, pusat konvensyen dan sektor swasta.

Pendekatan pemasaran yang lebih agresif melalui platform digital, penyertaan dalam pameran perdagangan antarabangsa serta penawaran insentif kepada penganjur luar negara mampu meningkatkan daya saing Malaysia berbanding destinasi serantau seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.

Kesimpulannya, Malaysia mempunyai potensi yang amat besar untuk muncul sebagai hab acara perniagaan global yang bukan sahaja moden dan berdaya saing, malah menjadi peneraju kepada konsep MICE yang inklusif dan mampan.

Infrastruktur bertaraf dunia, lokasi strategik, kepelbagaian budaya serta sokongan kerajaan merupakan kekuatan utama negara.

Namun, kelebihan tersebut perlu diperkukuhkan melalui inovasi teknologi, pembangunan modal insan, amalan kelestarian dan yang paling penting, komitmen menjadikan setiap venue acara boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira keupayaan fizikal.

Jika usaha ini dilaksanakan secara bersepadu, Malaysia bukan sahaja mampu menjadi destinasi pilihan acara perniagaan di Asia, malah berpotensi muncul sebagai hab venue provider inklusif bertaraf dunia.

Sekali gus mengangkat imej negara sebagai peneraju industri MICE yang progresif, berdaya tahan dan benar-benar mengamalkan prinsip “Leave No One Behind.”

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Muhammad Hafizi Zamri
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam
E-mel: muhamm9811@uitm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.