Deepfake e-dagang: Taktik AI generatif dan realiti keselamatan pengguna

Gambar janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket gunakan klon wajah dan suara pempengaruh untuk sesi siaran langsung penipuan 24 jam.
  • Ulasan produk serta gambar testimoni dan resit pembayaran boleh dijana palsu, menjejaskan kepercayaan pembeli dan peniaga jujur.
  • Dana dipindahkan melalui akaun keldai atau dipertukarkan kepada kripto, menyebabkan pemulihan menjadi sangat sukar.
  • Pembeli wajib tingkatkan literasi digital, amalkan sikap skeptikal dan semak ketulenan kedai serta pautan pembayaran sebelum bayar.

Kecerdasan Buatan Generatif (AI Generatif) kini bukan lagi sekadar teknologi yang mampu menghasilkan teks atau imej. Dalam tempoh yang sangat singkat, teknologi ini telah berevolusi menjadi alat manipulasi visual dan suara yang amat berkuasa.

Jika sebelum ini liputan media tempatan kerap memfokuskan isu deepfake dalam konteks penipuan panggilan telefon atau agenda politik, kini taktik penipuan menggunakan AI mula menyusup ke dalam sektor e-dagang yang semakin dekat dengan kehidupan harian pengguna.

Dunia perniagaan dalam talian dibina atas satu asas utama, iaitu kepercayaan (trust). Malang sekali, keupayaan AI generatif terkini yang semakin canggih mula merobohkan tiang kepercayaan ini melalui taktik-taktik baharu yang masih jarang dikupas oleh masyarakat.

Antara ancaman terbaharu yang wujud ialah penipuan penstriman langsung AI (Live Commerce Deepfake). Sindiket jenayah kini berupaya mengklon wajah dan suara pempengaruh (influencer) atau penjual terkenal untuk menjalankan sesi live streaming 24 jam tanpa henti.

Pembeli disasarkan dengan tawaran diskaun “tak masuk akal”, manakala respons serta interaksi di ruang sembang (chat) dijana secara automatik oleh AI chatbot yang bertutur dalam bahasa tempatan berserta loghat yang sangat semula jadi.

Tanpa disedari, pengguna sebenarnya mungkin sedang berurus niaga dengan identiti yang dijana menggunakan AI.

Selain itu, integriti ulasan produk (product reviews) turut dicemari. Jika dahulu ulasan palsu boleh dikesan menerusi ayat yang janggal, kini AI generatif mampu menghasilkan ribuan ulasan teks yang bersahaja, lengkap dengan gambar testimoni “sebelum dan selepas” serta imej resit pembayaran palsu yang direka secara automatik.

Kesannya, peniaga tempatan yang jujur menerima impak kerugian apabila pembeli mula mengalami kepenatan emosi (consumer fatigue) dan hilang kepercayaan terhadap platform e-dagang.

Menghadapi taktik penipuan berasaskan AI yang sentiasa berubah, masyarakat perlu menyedari bahawa; sekali anda terpedaya dan memindahkan wang, wang tersebut hampir mustahil untuk didapatkan kembali.

Taktik licik penjenayah siber hari ini melibatkan pemindahan dana menerusi akaun keldai atau akaun kuda (mule account), sebelum wang tersebut dipindahkan ke akaun lain atau ditukarkan kepada mata wang kripto dalam tempoh yang singkat.

Walaupun negara mempunyai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), proses pemulihan dana yang telah terlepas ke tangan sindiket adalah amat sukar.

Oleh yang demikian, usaha membanteras penipuan AI tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pihak berkuasa atau penyedia platform semata-mata. Kawal selia undang-undang dan sistem keselamatan perbankan adalah benteng awal, tetapi kesedaran serta kewaspadaan pembeli adalah benteng terakhir.

Pembeli e-dagang zaman baharu wajib mengubah minda daripada pembeli pasif kepada pengguna yang mempunyai literasi digital (cyber literate). Sikap skeptikal yang sihat perlu dipraktikkan, prinsip “melihat tidak semestinya percaya” mesti dipegang teguh.

Sebelum menekan butang ‘Bayar’, semakan silang terhadap ketulenan kedai, sejarah akaun, serta pengesahan pautan pembayaran wajib dilakukan.

Kesimpulannya, AI ialah teknologi yang berkembang dengan sangat pesat, dan penjenayah siber akan sentiasa mencari peluang untuk menyalahgunakannya. Usaha membendung deepfake dalam e-dagang adalah tanggungjawab bersama.

Pihak berkuasa menyediakan ekosistem yang selamat, namun kebijaksanaan dan ketelitian pembeli di hujung jari sendiri yang akhirnya akan menentukan sama ada kita menjadi korban teknologi atau pengguna digital yang berwibawa.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Raihani Mohamed
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Putra Malaysia
E-mel: raihanimohamed@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.