
SAUDARA PENGARANG
- Mengewangkan aset universiti seperti sewaan, perkhidmatan hospital dan ladang solar untuk menghasilkan pendapatan berterusan.
- Membangunkan dan mempelbagaikan instrumen penjanaan: pelajar saluran terus, microcredential, ODL, geran, endowmen serta kolaborasi strategik.
- Amalkan penjimatan operasi dan kawalan kewangan bijak; guna dana penjanaan untuk prasarana, kebajikan pelajar dan penyelidikan lestari.
Universiti kini menghadapi cabaran dalam meletakkan prestasi dan kemampanan kewangan berada dalam keadaan terbaik dan ia merupakan salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh universiti-universiti Malaysia.
Sebahagian besar pembiayaan pendapatan universiti awam datang terus daripada kerajaan Malaysia dan bertindak sebagai institusi yang diurus sendiri di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.
Kemampanan kewangan universiti merujuk kepada keupayaan jangka panjangnya untuk mengekalkan kesihatan kewangan dan memenuhi misi akademiknya dengan mempelbagaikan aliran pendapatan, mengurus kos dengan berkesan dan menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi, dan bukannya bergantung semata-mata kepada pembiayaan kerajaan.
Dana yang besar diperlukan bagi setiap institusi dalam merancakkan aktiviti penyelidikan, penerbitan, akademik, pembangunan pelajar, membentuk rangkaian profesional, pembangunan prasarana, khidmat masyarakat dan banyak lagi yang menjadi cabaran bagi setiap institusi pengajian tinggi negara.
Lebih-lebih lagi hampir kesemua institusi premium ini, kini berusia lebih daripada 50 tahun. Bangunan mula nampak lusuh, peralatan mula ketinggalan zaman, persekitaran pula terbiar dan tidak terjaga.
Oleh itu, pengurusan universiti perlu diterajui dengan hala tuju yang berbeza kerana universiti memerlukan dana yang besar untuk mentransformasikan penampilan fakulti dan pada masa yang sama kos penyelenggaraan juga tinggi setiap tahun.
Universiti juga perlu mempunyai instrumen penjanaan yang lestari dalam menampung keperluan kewangan, menjadikannya sentiasa relevan dalam menempatkannya sebagai sebuah universiti yang terbaik di persada antarabangsa dalam penarafan QS dan THE.
Secara umumnya, terdapat empat (4) langkah bagi memastikan kemampanan kewangan universiti mengikut turutan yang betul.
Langkah pertama adalah mengenal pasti aset yang boleh mendatangkan pendapatan kepada universiti atau dipanggil mengewangkan aset atau juga memaksimumkan penggunaan aset (leveraging asset).
Antara aset yang boleh menjana hasil ialah sewaan tapak, ruang, bangunan, peralatan, tanah. Selain daripada itu, perkhidmatan juga boleh dikategorikan sebagai aset seperti hospital, latihan dan rundingan, estet, ladang solar, pengkomersilan produk dan lain-lain. Setiap aset dan perkhidmatan perlu semtiasa dipertingkatkan kualiti supaya memberikan pulangan yang maksimum.
Langkah kedua adalah dengan membangunkan dan mempelbagaikan instrumen penjanaan seperti pengambilan pelajar saluran terus, penawaran kursus microcredential, Open and Distance Learning (ODL) sijil profesional, geran penyelidikan dan endowmen.
Langlah lain termasuk sumbangan filantrofi, kolaborasi strategik bersama pihak luar, kursi, pelaburan, pengkomersilan, penjualan buku, majalah dan cenderamata dan lain-lain.
Pengurusan fakulti perlu kreatif dan sentiasa mengintai sebarang peluang untuk membentuk instrumen baru. Lebih banyak intrumen penjanaan yang ada maka lebih banyak sumber pendapatan bagi universiti tersebut.
Langkah ketiga ialah penjimatan khususnya dari segi operasi seperti perbelanjaan, tenaga kerja, pengunaan utiliti, pendigitalan dan lain-lain. Penjimatan ini penting tetapi tidak boleh mengekang kepada perkembangan universiti.
Strategi penjimatan dan keluwesan perlu diamalkan dengan bijak dalam memastikan motivasi tenaga kerja dalam keadaan terbaik dan kemajuan universiti dapat dilaksanakan serentak. Pemasangan panel solar juga menjimatkan penggunaan tenaga serta meningkatkan pendapatan universiti.
Langkah keempat adalah kawalan kewangan melalui pengembangan jaringan, pembukaan kampus pesisir dan ofis satelit baru, meningkatkan pelaburan, pembinaan prasarana, pembangunan sumber manusia dan transformasi digital sepenuhnya.
Kawalan kewangan lebih menekankan kepada pemerkasaan setiap instrumen yang menjana kepada pendapatan universiti dan menambahbaik sekiraya terdapat kekurangan.
Dana penjanaan ini boleh digunakan sepenuhnya untuk peningkatan dan naik taraf prasarana, kebajikan pelajar dan kelestarian penyelidikan. Kewujudan instrumen-instrumen penjanaan ini sangat membantu dan memberi manfaat kepada warga fakulti, pelajar khususnya tempatan dan universiti amnya.
Persekitaran menjadi lebih baik, selesa, kondusif dan memangkin kepada percambahan dan penerokaan ilmu baru dilkalangan para pelajar. Dana penjanaan juga boleh digunakan untuk membina bilik-bilik kuliah baru, studio, peralatan makmal, ruang belajar, ruang rekreasi, cat semula bangunan dan banyak lagi.
Selain daripada itu, dana penjanaan juga digunakan untuk membantu pelajar-pelajar yang mempunyai masalah kewangan dan menampung keperluan pelajar yang menjalani program mobiliti di universiti luar negara (outbound mobility).
Perubahan teknologi seperti AI, Quantum dan lain-lain juga menyebabkan penyelidikan universiti menjadi kurang relevan dan dana yang besar digunakan untuk menganjak penyelidikan tempatan menjadikannya selari dengan tumpuan penyelidikan dunia.
Empat langkah ini penting dalam membentuk kestabilan kewangan institusi dan boleh juga diaplikasi dalam pengurusan kewangan kendiri. Dengan adanya perancangan kewangan yang betul dan berstrategik mampu mengubah taraf kehidupan individu dan keluarga.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman
Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina
Universiti Kebangsaan Malaysia
E-mel: syuhaimi@uk.edu.my