SCL pacu motivasi dan pengurusan masa pelajar universiti

Gambar hiasan janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • SCL menjadikan pelajar aktif meneroka ilmu melalui perbincangan, projek, kajian kes dan pembelajaran kolaboratif.
  • Pensyarah berperanan sebagai fasilitator yang membimbing proses pembelajaran dan menyokong autonomi pelajar.
  • Pendekatan ini meningkatkan motivasi, keyakinan, pemikiran kritis, kreativiti serta semangat pembelajaran sepanjang hayat.
  • Tugasan projek dan aplikasi digital melatih pengurusan masa, perancangan jadual, penetapan keutamaan dan pematuhan tarikh akhir.

Dunia pendidikan tinggi kini sedang mengalami transformasi yang signifikan selaras dengan perkembangan teknologi digital, Revolusi Industri 4.0 dan keperluan melahirkan graduan yang berdaya saing.

Kaedah pengajaran tradisional yang berpusatkan pensyarah semakin beralih kepada pendekatan Student-Centered Learning (SCL) atau pembelajaran berpusatkan pelajar.

Pendekatan ini bukan sekadar mengubah kaedah penyampaian ilmu, malah membentuk pelajar yang lebih berdikari, bermotivasi dan mampu mengurus masa dengan lebih berkesan.

Dalam SCL, pelajar bukan lagi penerima maklumat secara pasif, sebaliknya menjadi individu yang aktif meneroka ilmu melalui perbincangan, penyelesaian masalah, pembelajaran berasaskan projek, kajian kes dan pembelajaran kolaboratif.

Pensyarah pula berperanan sebagai fasilitator yang membimbing proses pembelajaran.

Motivasi belajar meningkat apabila pelajar diberi peluang membuat keputusan terhadap proses pembelajaran mereka. Penglibatan aktif meningkatkan keyakinan diri, pemikiran kritis, kreativiti serta semangat pembelajaran sepanjang hayat.

Pendekatan SCL turut membentuk kemahiran pengurusan masa. Tugasan berasaskan projek dan pembelajaran kendiri melatih pelajar merancang jadual, menetapkan keutamaan dan mematuhi tarikh akhir.

Penggunaan aplikasi digital seperti kalendar elektronik dan platform pembelajaran membantu mereka mengurus tugasan dengan lebih sistematik.

Graduan masa kini perlu memiliki kemahiran menyelesaikan masalah, komunikasi, kepimpinan dan pengurusan masa. SCL menyediakan pengalaman pembelajaran yang hampir menyerupai situasi sebenar di tempat kerja, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-‘Asr ayat 1–3 yang bermaksud:

Demi masa, Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Rasulullah SAW juga bersabda: ‘Dua nikmat yang ramai manusia tertipu mengenainya ialah kesihatan dan masa lapang‘ (Riwayat al-Bukhari). Kedua-dua nas ini menekankan kepentingan menghargai masa sebagai amanah.

Kesimpulannya, SCL merupakan pendekatan pendidikan yang mampu meningkatkan motivasi, membentuk disiplin serta pengurusan masa seterusnya mampu melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Nadiah Ramlan
Pensyarah
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah
Universiti Sains Islam Malaysia

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.