
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Kerajaan terus memperkukuh keupayaan pertahanan maritim negara melalui pembangunan industri pertahanan tempatan serta perolehan aset berteknologi tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
- Perolehan fasa kedua MPA, MALE-UAS dan Light Combat Aircraft diteruskan untuk memperkukuh keupayaan cegah rintang negara.
- ATM menyusun semula keutamaan pembangunan keupayaan dengan tumpuan pendekatan asimetri menggunakan sistem tanpa pemandu udara dan bawah permukaan.
- Pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara mengurangkan kebergantungan teknologi luar serta memperkasa pembangunan dron, peluru berpandu berpanduan dan pertahanan siber tempatan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memaklumkan, usaha itu antaranya perolehan fasa kedua pesawat peronda maritim (MPA) dan pesawat tanpa pemandu kategori Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aircraft System (MALE-UAS) serta Light Combat Aircraft (LCA) bagi memperkukuh keupayaan cegah rintang negara.
“Bagi memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara, ATM telah menyusun semula keutamaan pembangunan keupayaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan memberi tumpuan kepada pendekatan asimetri melalui penggunaan sistem tanpa pemandu udara permukaan dan juga bawah permukaan.
“Di samping itu, perolehan fasa kedua pesawat ronda maritim (MPA), Medium Attitude Long Endurance Unmanned Aerial Vehicle (MALI-UAV) dan juga Light Combat Aircraft (LCA) diteruskan bagi memperkukuhkan keupayaan cegah rintang negara,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh mengenai perancangan kerajaan meningkatkan keupayaan pengawasan surveillance di perairan negara termasuk Selat Melaka dan Laut China Selatan bagi memastikan keselamatan laluan perdagangan dan sumber perikanan utama negara tidak didominasi aset negara asing.
Katanya, kerajaan turut melaksanakan Dasar Industri Pertahanan Negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar, selain memperkasa pembangunan keupayaan tempatan dalam bidang dron, sistem peluru berpandudan pertahanan siber.