
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Sebanyak 21 projek pembangunan dilaksana di Sabah bagi menyokong peningkatan kapasiti Insititut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) negeri itu.
- KPT terbuka menerima permohonan program akademik baharu di UMS, UiTM, politeknik dan kolej komuniti di Sabah.
- Permohonan dinilai berdasarkan kepakaran universiti, keperluan industri dan negara, kapasiti penyampaian serta kebolehpasaran graduan.
- Sehingga 30 Jun 2026, 16 IPTA beroperasi dan menawarkan pelbagai program pengajian di Sabah.
- KPT komited memperkukuh kapasiti dan kepelbagaian program bagi memastikan akses pendidikan tinggi berkualiti untuk pelajar tempatan.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, pelaksanaan tersebut melibatkan kos keseluruhan RM1.05 bilion termasuk peruntukan siling Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berjumlah RM160.6 juta bagi tahun 2026.
“Dalam usaha memperkukuh kepelbagaian program pengajian di IPTA Sabah, KPT sentiasa terbuka dan sedia menerima permohonan program akademik baru di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), politeknik dan kolej komuniti di Sabah.
“Setiap permohonan dinilai secara menyeluruh berdasarkan beberapa kriteria utama termasuklah soal kepakaran sedia ada universiti, keperluan semasa industri dan negara, kapasiti penyampaian institusi permintaan pelajar, kebolehpasaran graduan dan keperluan mengelakkan bertindanan program antara IPTA,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar berkaitan langkah kerajaan bagi menambah kapasiti dan kepelbagaian program Institusi Pengajian Tinggi Awam di Sabah.
Setakat ini, sebanyak 16 IPTA sedang beroperasi dan menawarkan pelbagai program pengajian di Sabah sehingga 30 Jun 2026.
Jelasnya, KPT sentiasa komited memperkukuh kapasiti dan kepelbagaian program pengajian di institusi pendidikan tinggi awam di negeri itu bagi memastikan pelajar tempatan mempunyai akses yang lebih luas kepada pendidikan tinggi berkualiti tanpa perlu bergantung kepada kampus di Semenanjung semata-mata.