
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Persatuan Pegawai Penjara Malaysia (POA) menghormati sepenuhnya proses perundangan yang sedang berjalan susulan lima anggota Jabatan Penjara Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping pada 3 Julai lalu bagi menghadapi pertuduhan berkaitan insiden di Penjara Taiping pada 17 Januari lepas.
- Setiap individu berhak mendapat perbicaraan adil; prinsip asas sistem keadilan hendaklah dihormati oleh semua pihak.
- POA prihatin terhadap kebajikan dan moral anggota serta keluarga; komited menyalurkan sokongan dan bantuan yang dibenarkan.
- POA menyeru anggota terus bertugas dengan integriti, profesionalisme, mematuhi SOP dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
POA dalam kenyataan hari ini menegaskan, setiap individu yang didakwa berhak mendapat perbicaraan yang adil mengikut lunas undang-undang.
“Setiap individu yang didakwa berhak mendapat perbicaraan yang adil oleh mahkamah. Prinsip ini merupakan asas kepada sistem keadilan negara dan hendaklah dihormati oleh semua pihak. Keadilan akan berjalan secara bebas, telus dan saksama,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, POA menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan serta moral anggota yang terlibat dan keluarga mereka.
Menurut kenyataan itu, persatuan berkenaan komited menyalurkan sokongan moral serta bantuan yang dibenarkan mengikut Perlembagaan Persatuan dan peraturan yang berkuat kuasa tanpa menjejaskan prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.
“Persatuan akan memainkan peranan sewajarnya dalam memastikan aspek kebajikan, sokongan moral dan bantuan yang dibenarkan mengikut Perlembagaan Persatuan serta peraturan yang berkuat kuasa dapat disalurkan kepada keluarga anggota yang terlibat, tanpa menjejaskan proses perundangan yang sedang berjalan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, POA menyeru seluruh warga Jabatan Penjara Malaysia agar terus melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan profesionalisme serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Persatuan itu turut berharap semua anggota kekal tenang dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang proses perundangan berlangsung.