AI percepat revolusi media, sentuhan manusia kekal relevan

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail – Foto RTM

PETALING JAYA, 7 Julai – Radio Televisyen Malaysia (RTM) melihat perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai pemangkin transformasi dalam industri media, namun manusia kekal menjadi teras utama dalam memastikan kandungan yang dihasilkan terus relevan dan dipercayai masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh pendekatan kolaboratif dan penciptaan bersama dengan penonton, pemain industri serta pencipta kandungan untuk memahami keperluan masyarakat.
  • Bina kepercayaan awam secara berterusan melalui penyampaian kandungan berkualiti tinggi yang memberi manfaat kepada masyarakat.
  • Terus bersifat anjal serta perluas kerjasama antara penyiar, media baharu dan pemain industri untuk mengukuhkan ekosistem media negara.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, dalam era peralihan teknologi, RTM memberi penekanan terhadap pendekatan kolaboratif bersama penonton, pemain industri serta pencipta kandungan bagi memahami keperluan masyarakat yang semakin berubah.

“Dalam era ini, kita perlu mengakui bahawa kita berada dalam zaman penciptaan bersama (co-creation). Dalam menghadapi peralihan ke era kecerdasan buatan (AI), perkara paling penting adalah kita perlu memperkukuh hubungan sesama manusia.

“Justeru, bagi RTM, perkara utama adalah memperluas penglibatan bukan sahaja bersama pemain industri, tetapi juga dengan penonton,” kata beliau ketika menyertai sesi panel Media at a Crossroads sempena ABU CON-FEST 2026 di Petaling Jaya.

Beliau berkata, dalam era AI dan kepelbagaian platform media, kepercayaan masyarakat terhadap penyiar awam perlu dibina secara berterusan menerusi penyampaian kandungan berkualiti.

“Kepercayaan perlu diperoleh. Kita tidak boleh memaksa masyarakat untuk mempercayai kita. Apa yang penting ialah kita terus melakukan perkara yang terbaik, berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih baik, serta memberi tumpuan kepada matlamat untuk menghasilkan kandungan berkualiti tinggi dan memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan, ” katanya.

Mengulas mengenai hala tuju RTM, Ashwad berkata, organisasi itu perlu terus bersifat anjal dalam menghadapi perubahan teknologi dan cabaran masa hadapan.

Keanjalan ini penting. Apabila kita bersifat anjal, kita mampu mendepani satu era yang penuh dengan ketidakpastian. Namun, perkara yang berada dalam kawalan kita ialah bagaimana kita memberi respons terhadap setiap perubahan,” katanya.

Tambah beliau, perkembangan teknologi turut membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas antara penyiar, media baharu dan pemain industri bagi memperkukuh ekosistem media negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.